Generasi ketiga Innova itu kini tidak lagi menggunapakai platform ladder frame IMV yang dikongsi bersama Hilux dan Fortuner, sebaliknya beralih kepada platform TNGA-C yang jauh lebih moden.
Sebagai makluman, platform TNGA-C ini turut digunakan pada model Toyota lain seperti Corolla, Corolla Cross, C-HR, Noah dan juga Lexus UX.
Dengan platform monocoque baharu ini, Innova 2023 nyata membawakan ruang yang lebih luas, disebabkan perubahan daripada sistem pacuan roda belakang kepada roda hadapan.
Ia membawakan ukuran sepanjang 4,755 mm, lebar 1,850 mm, tinggi 1,795 mm, jarak antara roda sepanjang 2,850 mm sementara jarak kelegaan tanah pula setinggi 185 mm, jauh lebih besar berbanding model yang digantikannya.
Sebagai perbandingan, Innova terdahulu membawakan ukuran panjang 4,735 mm, lebar 1,830 mm, tinggi 1,795 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,750 mm.
Disebabkan penggunaan platform TNGA-C, Innova juga buat pertama kalinya menampilkan trenkuasa hibrid.
Versi hibrid didatangkan dengan nadi Dynamic Force M20A-FXS (152 PS/187 Nm) yang dipadankan dengan motor elektrik (113 PS/205 Nm) dengan jumlah kuasa keseluruhan 186 PS.
Selain itu, terdapat juga pilihan enjin 2.0 liter M20A-FKS dengan kuasa setinggi 174 PS dan 205 Nm, di mana kedua-dua pilihan enjin itu tadi dipadankan dengan transmisi CVT, atau e-CVT untuk varian hibrid.
Seperti yang diduga, Innova kali ini tidak lagi menampilkan penawaran transmisi manual.
Berbanding Innova terdahulu, rupa luaran Innova 2023 kini telah dimodenkan, dengan unit lampu utama yang direka semula, jeriji dengan kemasan sarang lebah, diikuti dengan jalur LED pada bahagian bampar.
Sama juga halnya dengan lampu belakang, di mana ia kini membawakan rekaan yang lebih moden dan tampil ringkas dalam masa yang sama.
Lekuk-lekuk pada profil sisi sebenarnya mengingatkan penulis kepada Corolla Cross, dan tidak salah untuk kita katakan Innova baharu ini sebenarnya merupakan Corolla Cross versi yang lebih besar.
Secara standard, Innova membawakan rim bersaiz 16 inci, unit lampu LED, skrin infotainmen sembilan inci dengan sambungan kepada peranti pintar, brek parkir elektronik serta ciri Brake Hold.
Tidak seperti Innova terdahulu, ruang kabin pula menampilkan susun atur yang lebih ringkas dan kemas dengan sistem kawalan iklim digital, skrin MID 4.2 inci TFT untuk varian petrol, atau skrin kluster digital yang lebih besar pada model hibrid.
Varian tertinggi pula didatangkan dengan skrin infotainmen 10 inci, ciri kamera keliling 360 darjah, tambahan dua skrin infotainmen untuk tempat duduk baris kedua, dan kerusi kapten dengan kusyen ottoman.
Untuk varian tertinggi, Innova 2023 turut dilengkapi dengan Toyota Safety Sense 3.0 yang merangkumi Sistem Pra-Pelanggaran, Kawalan Jelajah Radar Dinamik, Amaran Keluar Lorong, Bantuan Pengesanan Lorong serta Bantuan Suluhan Tinggi Automatik.
Di Indonesia, harga jualan Innova 2023 bermula dari Rp 419,000,000 (RM122,040) untuk varian G petrol, sementara varian hibrid pula bermula dari Rp 458,000,000 (RM133,399).
Toyota Innova 2023 akan dipasang di kilang PT Toyota Motor Manufacturing di Jawa Barat, sekaligus merangkap kereta berelektrik pertama yang dipasang di negara tersebut.