Toyota Hilux L-Edition 2.4L dan 2.8L dilancar - Harga bermula RM119,300 hingga RM133,900!

oleh Afandi Che Muhamad|
Mengambil kira reaksi positif dan sambutan menggalakkan terhadap Toyota Hilux, UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) hari ini tampil menerusi pelancaran dua lagi varian baharu terdiri daripada varian Hilux L-Edition 2.4 liter AT dan 2.8 liter AT.

Difahamkan, penggunaan label L-Edition ke atas varian baharu berkenaan merujuk kepada 'Luxury Edition' atau edisi mewah dalam Bahasa Malaysia.

Bersesuaian dengan namanya, varian pikap premium itu memiliki karakter yang agak sporty dengan kehadiran aplikasi rim aloi berwarna hitam perak dengan lima jejari berukuran 18 inci dipadankan pula bersama tayar 265/65R18. 

Jika diteliti daripada hadapan, kedua-duanya dipasangkan komponen dengan rekaan serba baharu seperti gril berbentuk heksagon lengkap kemasan krom dan hitam beserta bampar juga perumah lampu kabus.

Inisiatif bijak yang diambil UMWT itu harus dipuji kerana ia dilihat berjaya mencorakkan sisi gagah pada Hilux yang kini menjangkau usia 50 tahun sejak dilancarkan pada tahun 1968.

Selain itu, varian L-Edition tersebut turut menerima kemasan unik piano black dan krom pada bahagian panel di dalam ruang kabin.

Tambah menarik, kusyen tempat duduk pikap berkenaan juga dibalut dengan kulit berliang dan bukannya kulit biasa seperti digunakan pada varian Hilux lain.

Perbezaan antara kedua-dua varian ini tidak begitu ketara, varian 2.4L L-Edition dilengkapi sistem penghawa dingin manual, paparan instrumen pelbagai info, sistem kunci pintar dengan suis penghidup enjin, pemain audio biasa, tempat duduk pemandu boleh laras lapan hala, tujuh beg udara, ABS, EBD, BA, Active Traction Control (A-TRC), Vehicle Stability Control (VSC), Hill-start Assist Control (HAC) dan penderia undur.

Sementara varian 2.8L L-Editon pula, ia didatangkan bersama fungsi tambahan sistem penghawa dingin automatik lengkap liang kabin belakang, paparan pelbagai info Optitron 4.2 inci, sistem hiburan dengan skrin sesentuh 6.1 inci, Cruise Control, perakam video digital bersepadu dan Bantuan Kawalan Menurun Bukit (DAC).

Aspek lain kekal sama seperti model sedia ada, ia masih menggalas nadi enjin lama jenis turbodiesel 2GD-FTV berkuasa 150PS dengan puncak tork maksima sekitar 400Nm bagi 2.4L manakala model 2.8L dijana enjin 1GD-FTV berkuasa 177 PS pada tork 450Nm.

Kuasa dihasilkan kedua-dua enjin berkenaan kemudian dipindahkan ke gandar roda belakang dengan bantuan transmisi enam kelajuan automatik dan pacuan empat roda.

Sebagai permulaan, Toyota Hilux L-Edition 2.4 liter AT dijual pada harga RM119,300 sementara varian 2.8 liter AT pula berharga RM133,900 (harga termasuk GST, tanpa insuran, cukai jalan dan nombor pendaftaran).

Pakej harga ditawarkan didatangkan dengan jaminan lima tahun dengan perbatuan maksimum 150,000 kilometer (bagi semua Toyota Hilux sahaja) selain jaminan tersebut boleh dipindahkan kepada pemilik seterusnya tertakluk kepada terma dan syarat.

Susulan pengenalan varian pikap berkenaan, UMWT berbesar hati mengumumkan bahawa tempahan bagi kedua-dua varian pikap baharu tersebut sudah pun dibuka mulai hari ini.

Maklumat lanjut mengenai Toyota Hilux L-Edition baharu boleh didapati dengan melayari laman web rasmi UMWT di www.toyota.com.my.

Add new comment

Careta Ad

Berita Berkenaan

Berita Global
Toyota membangunkan trak pikap Hilux Invicible ini menggunakan kepakaran know-how trak pikap…
Uncategorized
Selain daripada warna baharu, Toyota juga turut menekankan aspek keselamatan untuk para pelanggan…
Berita Global
Pihak Toyota Australia telah menambahbaik penawaran pakej Hilux dari segi penggayaan dan keupayaan…