Meskipun membawakan nama yang sama, Hilux GR Sport 2022 membawakan perbezaan jika dibandingkan dengan dua buah model kembarnya yang dilancarkan sebelum ini.
Bermula dari rupa paras, Hilux GR Sport mendapat bampar depan yang direka semula, gril sarang lebah, perumah gril hitam berkilat, perkataan TOYOTA, dan tidak ketinggalan lencana wajib GR Sport.

Untuk pasaran Eropah, Hilux GR Sport mendapat rim 17 inci dengan balutan tayar all-terrain, diikuti dengan pemasangan plastik pelindung fender, cermin sisi hitam dan pemasangan pemijak sisi.
Ruang kabin pula mendapat tempat duduk sports berjenama GR Sport yang dibaluti kulit hitam dan suede sintetik, jahitan kontras merah, emblem GR Sport pada karpet, butang pandu-mula, dan grafik khas pada skrin tengah.
Tidak ketinggalan, kemasan gentian karbon palsu, pedal sports aluminium, hiasan garis merah pada papan pemuka serta sistem pencahayaan ambien pada panel pintu.

Aspek yang paling penting didatangkan pada Hilux GR Sport adalah naiktaraf sistem suspensi yang merangkumi penyerap hentak tiub tunggal serta spring gegelung hadapan yang dikeraskan berwarna merah, sementara tetapan suspensi belakang masih dikekalkan.
Menurut Toyota, naiktaraf ini mampu meningkatkan karakteristik pengendalian termasuk respons stereng, prestasi di jalan lurus, serta pemanduan yang lebih selesa.
Unit enjin masih lagi sama, iaitu nadi diesel 2.8 liter turbo yang mampu menghasilkan 204 PS dan 500 Nm yang dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan dan bantuan LSD automatik.