Toyota Hilux FCEV masuk peringkat demonstrasi!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Toyota Hilux FCEV Prototype 2024
Toyota Hilux FCEV Prototype 2024
Pada Disember 2022 Careta melaporkan mengenai kejayaan Toyota memperolehi dana kerajaan United Kingdom (UK) untuk projek Hilux janaan sel bahan api.

Pada September 2023, Toyota memperkenalkan prototaip Hilux tersebut dan turut diterbitkan di laman sesawang ini.

Pada yang sama Careta juga menerbitkan beberapa artikel mengenai Hilux elektrik (Hilux Revo BEV Concept) dari Thailand.

Kedua-dua projek berjalan serentak dan tidak benar dakwaan yang mengatakan Toyota mengabaikan kenderaan elektrik.
Toyota Hilux FCEV Prototype 2024

 

Toyota tidak menumpukan pada satu teknologi dan seperti yang kerap disebut berpegang kepada berbilang laluan atau multipathway.

Projek Hilux sel bahan api hidrogen adalah hasil konsortium yang diketuai Toyota Motor Manufacturing (UK) Ltd. (TMUK).

Selain Toyota, ahli konsortium terdiri daripada Ricardo, ETL (European Thermodynamics), D2H Advanced Technologies dan Thatcham Research.

Bukan satu tetapi sepuluh buah prototaip Hilux siap dipasang di kilang TMUK di Derby, England. 

 

Toyota Hilux FCEV Prototype 2024

 

Lima buah Hilux sedang menjalani ujian di lapangan bagi menilai keselamatan, prestasi, kegunaan dan ketahanan dan menghasilkan data pandu uji di dalam situasi dunia sebenar.

Lima buah lagi digunakan untuk demonstasi pelanggan dan media termasuk dibawa ke Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024 akan datang.

Projek Hilux ini meneruskan kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan Toyota selama 30 tahun di dalam bidang sel bahan api hidrogen.

Pengetahuan dari projek Hilux akan dimanfaatkan di dalam teknologi sel bahan api generasi baharu dengan kitaran hayat lebih panjang, jarak pemanduan dan pengurangan kos.

 

Toyota Hilux FCEV Prototype 2024

 

Ukuran Hilux sel bahan api sama seperti Hilux biasa dan perbezaaan ketara terletak pada bahagian bawah dengan tiga tangki hidrogen tekanan tinggi.

Teknologi Toyota Mirai disesuaikan pada pikap ini dan mempunyai jarak pemanduan sehingga 600 kilometer (km).

Setiap tangki hidrogen mempunyai berat 2.6 kilogram (kg) atau 7.8 kg secara keseluruhan. Tangki dipasang pada casis tangga dan nampak sepadan dan elok.

Kotak tindanan (stack) sel bahan api yang mengandungi 330 sel dipasang di atas gandar depan.

 

Toyota Hilux FCEV Prototype 2024

 

Pikap ini dipacu roda belakang melalui motor elektrik pada gandar belakang dan menghasilkan 134 kW (182 hp) dan daya kilas 300Nm.

Menggunakan reaksi hidrogen dan oksigen bermakna mereka yang berada di belakang Hilux ini tidak menghidu diesel kecuali mengeluarkan air atau wap.

Bateri litium-ion yang menyimpan tenaga elektrik janaan sel bahan api dipasang pada dek belakang dan di atas tangki hidrogen agar tidak mengorbankan ruang penumpang.

Toyota menjangkakan Eropah akan menjadi satu daripada pasaran sel bahan api hidrogen terbesar menjelang 2030.

 

 Toyota Hilux FCEV Prototype 2024

 

Tidak hanya menumpu pada kenderaan, Toyota Motor Europe telah menubuhkan Hydrogen Factory Europe sebagai pusat penyelarasan bagi mengkomersialkan teknologi ini.

Jalan yang dipilih Toyota nampak sunyi namun turut dilalui pengeluar ternama lain seperti Honda, Hyundai dan BMW.

Seperti kenderaan elektrik bateri, jalan ini perlu diterangi oleh pemerintah dan pembuat polisi.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Toyota Hilux FCEV Prototype 2024