Di sebalik badan yang lebih pendek, Tamaraw SWB masih mengekalkan enjin 2.4 liter turbodiesel dengan kuasa 150hpdan 400Nm tork, dipadankan hanya dengan transmisi automatik enam kelajuan. Dimensi panjang kini hanya 4,520mm, berkurang sebanyak 450mm berbanding varian standard (4,970mm). Namun lebar 1,785mm dan tinggi 1,735mm masih sama.
Bahagian paling ketara ialah ruang kargonya iaitu 1,867mm panjang, hampir setengah meter lebih pendek daripada Tamaraw biasa. Akibatnya, wheelbase turun kepada 2,580mm dengan radius pusingan yang lebih ketat 4,700mm sahaja. Ini menjadikan Tamaraw SWB jauh lebih lincah untuk kegunaan bandar.
Menariknya, varian ini juga menerima ground clearance 166.5mm, sedikit lebih tinggi daripada standard. Toyota menjelaskan ia mungkin hasil talaan semula suspensi tetapi model ini masih mengekalkan rim steel 14 inci yang ringkas dan tahan lasak.
Dari segi keselamatan, Toyota turut menambah baik dengan memasang Forward Collision Warning serta Front Vehicle Moving Alert, dua sistem bantuan pemandu yang jarang ditawarkan pada trak utiliti asas.
Menarik juga, nama model ini berbeza mengikut negara. Di Thailand, ia dikenali sebagai Hilux Champ manakala di Filipina ia dipasarkan sebagai Tamaraw.
Secara keseluruhannya, Tamaraw Super SWB ini nampak seperti pilihan paling praktikal untuk pemandu bandar terutama mereka yang perlukan pikap kecil tetapi tetap bertenaga. Dengan saiz lebih pendek ia mudah dipandu dalam kesesakan jalan dan sesuai dijadikan kenderaan utiliti moden yang ringkas serta lincah.
Sumber: Top Gear PH