Laporan awal daripada Automotive News menyebut kilang produksi Avalon yang terletak di Georgetown, Kentucky akan menghentikan pemasangan sedan tersebut selepas model tahun 2022, dan ia disahkan sendiri oleh Toyota kepada laman web Motor1.
Menurut jurucakap Toyota, beliau mengesahkan produksi Avalon akan tetap diteruskan di kilang Tianjin, China, di mana sedan tersebut hanya akan ditawarkan untuk pembeli di Tanah Besar sahaja.
Sedan saiz penuh Avalon muncul kali pertama pada tahun 1994 di Chicago Auto Show berkongsi platform yang sama dengan Toyota Camry, sebelum Toyota menggunakan platform TNGA-K yang lebih moden.
Disebabkan peningkatan permintaan terhadap SUV, sedan Avalon tidak terlepas daripada menerima tempias jualan yang kurang memberangsangkan.
Pada tahun 2019, Avalon hanya mencatatkan jualan sebanyak 27,767 unit sahaja, penurunan sebanyak 17.3 peratus berbanding tempoh yang sama tahun 2018, dan ia bertambah buruk apabila Avalon hanya terjual sebanyak 18,421 unit sahaja untuk tahun 2020 (turun 33.7 peratus).
Sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun 2021, Toyota hanya berjaya menjual kira-kira 10,328 unit Avalon, atau peningkatan sebanyak 36.6 peratus.
Namun, angka tersebut masih lagi rendah jika dibandingkan dengan prestasi jualan Camry (177,671 unit) dan SUV RAV4 (183,360 unit) untuk tempoh yang sama.
Tahun lalu, Toyota mengumumkan mereka tidak akan menghentikan penawaran sedan di pasaran Amerika Syarikat walaupun segmen tersebut kini terjejas teruk akibat dominasi SUV.
Sayang sekali, selepas lima generasi dihasilkan sedan Avalon tidak dapat meneruskan hayatnya untuk tempoh yang lebih lama.