
Di bahagian dalam, suasana hitam dibangkitkan dengan riasan kuning.
Kerusi sport dibalut Ultrasuede® hitam dengan liang kuning, serta jahitan kuning pada stereng, pemegang brek tangan dan perehat pintu.
Sistem lapan pembesar suara adalah standard pada GR86 Yuzu dan Premium.
Pelanggan juga boleh memesan aksesori seperti ekzos cat-back dengan muncung perak berlogo GR dan kit badan untuk GR86 Yuzu mereka.

GR86 dikuasakan enjin boxer empat silinder 2.4-liter yang menghasilkan 228 kuasa kuda (hp) dan 249Nm.
Ketiga-tiga varian ditawarkan dengan pilihan transmisi manual enam kelajuan atau automatik.
GR86 dipertingkatkan pada 2024 dengan kemas kini talaan untuk memberikan pemanduan yang lebih menyeronokkan.
Di antaranya pemetaan pendikit yang ditambah baik bagi memudahkan blipping.

Kawalan tork enjin tambahan memberikan tindak balas pendikit yang lebih terus dan linear bagi memudahkan kawalan pada semua kelajuan.
Kemas kini tersebut dibawa ke model 2026 bersama Pakej Prestasi yang ditawarkan untuk GR86 dan GR86 Premium, yang merangkumi brek Brembo® dan peredam SACHS.
Pakej ini standard pada GR86 Edisi Yuzu.
Peredam SACHS yang diisi dengan nitrogen bertekanan tinggi dan minyak direka untuk menyerap getaran merentasi pelbagai kelajuan.

Ia juga berfungsi untuk memaksimumkan sentuhan jalan dan memastikan stereng kekal teguh serta stabil, sambil mengimbangkan maklum balas dan keselesaan.
Angkup Brembo merah dengan empat omboh di hadapan dan dua di belakang mencengkam cakera depan saiz 12.8 x 1.3 inci, dan 12.4 x 0.79 inci di belakang.
Casis GR86 menggunakan gabungan keluli kekuatan tinggi, keluli penekan panas dan aluminium.
Setiap bahan disusun secara strategik bagi memastikan kawalan olengan dan anggul yang seimbang.

Bahagian depan menggunakan struktur silang pepenjuru (cross member) dan pengikat kekuatan tinggi untuk menyambungkan suspensi depan dan rangka.
Di bahagian belakang, struktur gelang penuh (full ring) dan pengikat berkuasa tinggi menghubungkan rangka dan cagak suspensi.
Pelekat struktur juga ditambah di bawah badan untuk pengukuhan. Gabungan semua elemen ini menghasilkan rangka yang kukuh dan bersambung dengan baik.
Berat model asas dengan transmisi manual ialah 1,275 kilogram (kg) dan versi automatik 1,293 kg.

Perkakasan seperti hud aluminium, fender depan dan panel bumbung membantu mengurangkan berat.
Perincian seperti pelekat struktur pada rangka dan kerusi yang 2.7 kg lebih ringan berbanding 86 sebelum ini juga mengurangkan berat untuk kawalan maksimum.
Dari segi prestasi, pecutan 0 sehingga 97 kilometer sejam (km/j) memerlukan 6.1 saat untuk transmisi manual enam kelajuan dan 6.6 saat untuk automatik enam kelajuan.
GR86 manual dilengkapi butang mod Litar dan pilihan untuk mematikan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC).

Untuk transmisi automatik, cakera klac tambahan dan penukar tork berkapasiti tinggi membolehkan penghantaran kuasa yang lancar.
Pedal pada stereng turut membantu dalam pengalaman pemanduan dinamik. Pemandu boleh memilih antara mod Normal, Sport atau Snow.
Dalam mod Sport, transmisi mengesan operasi brek dan pendikit serta tingkah laku kenderaan untuk memilih gear yang sesuai secara automatik.
Semua varian dilengkapi diferensial gelincir terhad Torsen® untuk cengkaman lebih baik ketika membelok.

Dari segi keselamatan semua varian GR86 dilengkapi dengan Sistem Keselamatan Aktif.
GR86 Automatik:
- Sistem Brek Pra-Pelanggaran, Pengurusan Pendikit Pra-Pelanggaran, Kawalan Jelajah Adaptif
- Amaran Kenderaan Hadapan Bergerak, Amaran Sonar Belakang, Amaran Keluar Lorong dengan Amaran Huyung
- Lampu Tinggi Automatik, sistem anti-kecurian dengan pematikan enjin dan penggera
GR86 Manual:
- Sistem Brek Pra-Pelanggaran, Kawalan Jelajah Adaptif, Amaran Keluar Lorong dan Huyung
- Amaran Kenderaan Hadapan Bergerak, Lampu Tinggi Automatik
Sistem Keselamatan Star Toyota™:
- Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Kawalan Cengkaman (TRAC), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS)
- Pengagihan Brek Elektronik (EBD), Bantuan Brek (BA), Teknologi Henti Pintar (SST), Mod Litar dan Bantuan Mula Mendaki (HAC)
Ciri keselamatan tambahan:
-
Sistem LATCH untuk kerusi duduk kanak-kanak, Pemantau Tekanan Tayar (TPMS), tujuh beg udara, termasuk beg udara lutut pemandu

Satu yang menarik mengenai GR86 di AS ialah pemilik GR diberikan keahlian National Auto Sport Association (NASA) secara percuma selama satu tahun.
Ini merupakan satu daripada komitmen Toyota terhadap sukan permotoran.
Keahlian NASA memberi peluang kepada pemilik GR untuk merasai dunia pemanduan prestasi di litar tertutup.
Pemilik akan menikmati pelbagai manfaat, termasuk satu acara Pemanduan Prestasi Tinggi (HPDE) percuma.

Pemilik juga akan menerima diskaun untuk acara yang disahkan oleh NASA.
GR86 akan tiba di bilik pameran Toyota pada musim luruh 2025 (antara September hingga November).
Hanya 860 unit GR86 Yuzu Edition akan dikeluarkan untuk pasaran Amerika Utara pada tahun 2026.
Penulis: Muhammad Md Tajudin
