Sementara di Amerika Syarikat, Toyota akan memperluaskan lagi kehadiran mereka di dalam sukan permotoran dengan menganjurkanj perlumbaan bersiri one-make yang dinamakan sebagai GR Cup, dengan menggunakan khidmat generasi kedua kereta sports pacuan roda belakang Toyota GR86.
Serentak dengan itu, pengeluar Jepun itu turut mendedahkan gambar acah yang memaparkan kehadiran sayap belakang yang besar, spoiler ekor itik, set tayar Continental yang bakal digunakan sepanjang perlumbaan, serta pemasangan sangkar keselamatan pada ruang kabin.
Tiada sebarang butiran spesifikasi didedahkan buat masa ini, namun besar kemungkinan ia bakal dikuasakan oleh nadi 2.4 liter aspirasi natural yang sama dengan spesifikasi jentera jalanan, serta penggunaan bahan yang mampu mengurangkan lagi berat sedia ada.
Menurut Toyota, siri perlumbaan ini dikatakan akan membantu para jurutera untuk menguji kereta sports ini sehingga ke tahap yang lebih tinggi, selain mengesahkan prestasi sebenar GR86 yang diinspirasikan daripada litar lumba.
Siri perlumbaan GR Cup ini akan bermula pada tahun 2023, dengan tajaan utama oleh Crescent Tools dan Mobil 1.