Toyota GR Yaris - hot hatch dengan spesifikasi luar jangkaan!

oleh Mohamad Hanif|
Yaris baharu yang anda lihat pada gambar teaser ini bukanlah sekadar sebuah Yaris yang dibuang dua pintu belakang dan dilebarkan dimensinya semata-mata.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Apa yang bakal ditawarkan oleh Toyota GR Yaris merupakan sebuah model hot hatch yang direka untuk menawan segala macam bentuk perlumbaan atas muka bumi ini, baik di jalanan, trek mahupun perlumbaan rali. 

Yang pasti, ia merupakan sebuah model yang dibangunkan sepenuhnya oleh Toyota Gazoo Racing - divisyen perlumbaan Toyota - jika kita mengambil kira model-model seperti Toyota GT86/Subaru BRZ dan Toyota GR Supra/BMW Z4 bukanlah sebuah model ber-DNA-kan 100% dari Toyota.
 


Jika dibandingkan dengan Toyota Yaris standard empat pintu, ia masih menggunakan platform yang sama (TNGA-B) dengan jarak antara roda yang masih sama, namun sistem suspensi jentera ini telah berubah sepenuhnya. 

Di bahagian belakang, Toyota telah memasang sistem gantungan jenis double wishbone di bahagian belakang dan sistem yang kompleks ini telah menjawab persoalan kenapa arca roda belakang lebih lebar ditambah pula dengan jarak trek yang turut bertambah. 

Sementara itu, sistem gantungan hadapan kekal dengan penggunaan suspensi MacPherson. 
 


Garisan bumbung juga direka lebih rendah berbanding Yaris standard empat pintu dan ini adalah disebabkan permintaan daripada pasukan rali Toyota yang mahukan badan asas Yaris ini lebih aerodinamik, selain kekal tegar dan ringan dalam masa yang sama. 

Dengan asas yang sudah tersedia sempurna, pasukan WRC Toyota tidak akan menghadapi sebarang masalah dalam membangunkan jentera rali mereka yang seterusnya. 

Di ruang enjin, Toyota GR Yaris diberikan nadi tiga silinder sebaris (ya, tiga silinder!) berkapasiti 1.6 liter dengan bantuan turbo, memberikan output sebanyak 247 kuasa kuda dan 350 Nm daya kilas. 

Kuasa tersebut disalurkan kepada sistem pacuan semua roda menerusi transmisi manual enam nisbah kelajuan dan berita buruk, anda tidak akan dapat sebuah jentera GR Yaris dengan transmisi automatik langsung!
 


Memandangkan niat asal mahu menjimatkan berat, GR Yaris tidak didatangkan dengan komponen differential tengah akan tetapi Toyota telah melengkapkan high performance coupling bagi mengawal kuasa yang disalurkan kepada gandar belakang.

Terdapat tiga tetapan yang boleh dipilih iaitu Normal (60 hadapan:40 belakang), Sport (30:70) dan Track (50:50).

Sistem brek pula menggunakan angkup empat piston bersaiz 18 inci di hadapan dan angkup dua piston 16 inci di bahagian belakang.

Enjin 1.6 liter turbo ini tidaklah digunakan di dalam jentera Yaris WRC, akan tetapi Toyota mempunyai perancangan untuk menggunapakai enjin ini dalam perlumbaan yang lebih mesra poket seperti kategori R5.
 


Walaupun pada ketika ini bukanlah zaman homologasi dengan produksi model yang terhad, akan tetapi regulasi terkini menetapkan rangka badan jentera rali perlulah mengikut rapat dimensi yang ditawarkan oleh kereta jalanan. 

Oleh sebab itu, pasukan rali Toyota mengemukakan beberapa cadangan dalam pembangunan GR Yaris seperti:

  • Yaris tiga pintu - model hot hatch dengan tiga pintu mampu menawarkan elemen aerodinamik yang lebih berbanding model lima pintu. 
  • Garisan bumbung yang lebih rendah - untuk meningkatkan ruang antara bumbung kepada spoiler belakang

Mengikut Autocar, walaupun dengan bumbung yang telah direndahkan, ia masih lagi mengikut regulasi jalanan bagi memastikan pemandu masih memiliki ruang penglihatan di bahagian belakang kenderaan. 

Toyota GR Yaris - inilah resepi yang sepatutnya Toyota buat sejak dari dulu. 

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Tidak seperti model negara jiran yang telah mendapat muka baharu, Yaris IMP 2023 untuk pasaran…
Berita Global
  Selain varian sedia ada, Toyota turut memperkenalkan Yaris Premiere Edition yang sarat dengan…
Berita Global
Siapa sangka, kereta yang paling laris terjual di Eropah itu kini sudah pun memasuki generasi…