Untuk memperlihatkan potensi sebenar gandingan enjin ICE dengan bahan api hidrogen itu tadi, Toyota kini menampilkan GR Yaris H2 menggunakan konsep yang serupa menggantikan peranan bahan api petrol.

Meskipun dikaitkan dengan hidrogen, ia tidaklah seperti Toyota Mirai yang menggunakan trenkuasa sel bahan api, di mana GR Yaris H2 ini masih lagi mengekalkan enjin pembakaran dalaman, akan tetapi sistem saliran dan pancitan bahan api telah dimodifikasi untuk disesuaikan dengan pembakaran hidrogen.
Tidak ketinggalan, ia turut meminjam tangki simpanan hidrogen daripada Toyota Mirai.

Dengan trenkuasa ini, GR Yaris H2 mampu mengurangkan pelepasan bahan berbahaya ke atmosfera, di samping menjadikan enjin lebih responsif disebabkan kadar pembakaran hidrogen yang lebih cepat.
Yang paling penting, ia masih lagi mampu menghasilkan runut bunyi enjin pembakaran dalaman yang bertenaga.

Menurut Toyota, enjin pembakaran hidrogen ini masih lagi berada dalam fasa awal pembangunan dan tidak bersedia untuk proses pengkomersialan lagi.
Namun begitu, Toyota tetap mahu memastikan teknologi ini bersedia untuk memasuki fasa produksi menerusi siri ujian yang dijalankan menerusi sukan permotoran, sekaligus menjadi satu alternatif terbaik kepada kenderaan elektrik hibrid (HEV), elektrik bateri (BEV) dan kenderaan sel bahan api (FCEV).