
Nampak seperti lengkap tetapi belum memadai, transmisi manual belum ditawarkan. Memang pelik sekiranya model legenda seperti Supra dibuat tanpa transmisi manual.
Toyota akhirnya memperkenalkan GR Supra manual pada April 2022 dan kini harga model Amerika Syarikat telah didedahkan.
Berapa harganya? Bermula dari $52,500 (RM236,328 dengan tiga varian iaitu GR Supra 3.0, GR Supra 3.0 Premium dan edisi terhad 500 unit GR Supra 3.0 A91-MT.

Projek transmisi enam kelajuan ini bukan dibuat secara pasang siap.
Ianya dibangunkan oleh jurutera Toyota GAZOO Racing dengan kerjasama Toyota Motor Eropah dan pembekal transmisi ZF.
Transmisi itu dibuat dengan komponen yang direka khas supaya sepadan dengan karakteristik kuasa dan daya kilas enjin enam silinder sebaris berkuasa 382 hp.
Kakitangan kejuruteraan projek menggabungkan perumah transmisi dan set gear sedia ada dan klac baharu berdiameter besar dengan diaphragm spring yang diperkukuh digunakan.

Dengan bahagian geseran yang lebih besar dan gegelung lebih kuat, komponen itu mempunyai keupayaan tinggi bagi menampung daya kilas tinggi enjin GR Supra.
Kotak gear GR Supra mempunyai sistem Intelligent Manual Transmission (iMT) yang diprogram menggunakan perisian baharu bagi mengutamakan prestasi.
Apabila gear dianjak ke atas, tetapan dibuat untuk mengoptimumkan daya kilas enjin ketika klac ditekan dan dilepaskan.
Semasa gear diturunkan, pemandu dapat menikmati padanan putaran enjin (rev match) untuk prestasi yang konsisten.

Juga baharu ialah tuil gear baharu dan menariknya Toyota menanggalkan komponen yang tidak perlu seperti set akustik yang menurunkan berat kereta kepada 1,537 kilogram.
Fungsi iMT ditetapkan sebagai ciri standard namun boleh dipadamkan di dalam mod Individual.
Untuk permulaan pemanduan atau take off, nisbah akhir pacuan dipendekkan kepada 3.46 berbanding 3.15 yang digunakan GR Supra automatik.
Hasilnya boleh dilihat pada ketangkasan pecutan yang dianggarkan 4.2 saat dari 0 hingga 97 km/j.

Satu ciri transmisi manual ialah gelinciran roda dan ia sebenarnya membuang masa.
Bagi mengatasi isu tersebut, Toyota telah menala sistem TRAction Control (TRAC) untuk mendapatkan operasi yang lancar seperti transmisi automatik.
Toyota turut teliti pada bahagian dalaman. Nisbah tuil dibuat supaya tidak banyak usaha diperlukan untuk membuat tukaran gear mahu pun menukar gear undur.
Berat dan bentuk tombol gear dan kualiti penukaran juga diambil berat. Kereta berprestasi manual mesti mempunyai lagak manual.

Bahagian ergonomik pun sama, unit konsol dan posisi pemilihan mod pemanduan diubah dan hasilnya ialah jarak kelegaan 1.7 inci di antara tombol gear dan panel kawalan.
Akhir sekali, berapa harga lengkap Toyota GR Supra 2023 transmisi manual di AS?
GR Supra 3.0 Base MT berharga $52,500 (RM236,328) dan $55,650 (RM250,508) untuk GR Supra 3.0 Premium MT.
Model terhad GR Supra 3.0 A91-MT pula berharga $58,345 (RM262,640).
Penulis: Muhammad Md Tajudin
