Toyota GR Supra GT4 2020 sedia untuk membelah litar!

oleh Mohamad Hanif|
Khusus untuk mereka yang ingin mencari sebuah jentera lumba, Toyota menerusi divisyen Toyota Motorsport GmbH mengumumkan jentera GR Supra GT4 sudah pun melepasi ujian homologasi fasa akhir dan kini bersedia untuk membelah litar-litar utama dunia.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Toyota GR Supra GT4 pertama kali diperlihatkan pada Mac 2019 dan secara teknikalnya telah pun diuji di medan sebenar menerusi perlumbaan Nurburgring 24 Hours. 
 


Dari segi spesifikasi, GR Supra GT4 didatangkan dengan nadi enam silinder sebaris 3.0 liter turbo yang mampu menghamburkan 430 kuasa kuda dan 649.44 Nm daya kilas, dan transmisi automatik tujuh nisbah kelajuan digunakan untuk menyalurkan kuasa kepada roda belakang. 

Toyota mendakwa, dengan perancangan diet yang dijalankan, GR Supra GT4 ini memiliki berat sekitar 1,350 kilogram sahaja, berbanding GR Supra jalanan seberat 1,541 kilogram. 
 


Seperti biasa, diet khusus untuk program perlumbaan adalah menggunakan bahan gentian karbon yang merangkumi kit aero, serta beberapa talaan terhadap prestasi seperti ECU (Magneti Marelli), LSD spesifikasi perlumbaan, aci pemacu GKN Motorsport, sertasistem ekzos Akrapovic.

Sistem gantungan GR Supra ini menggunakan penyerap hentak boleh laras KW, manakala set rim 18 inci OZ dibaluti dengan set tayar daripada Pirelli. 
 


Untuk tujuan keselamatan, pihak Toyota telah memasang sistem tangki bahan api ATL FT3, sangkar keselamatan spesifikasi FIA, serta tempat duduk perlumbaan OMP yang dilengkapi harness keselamatan enam poin. 

Disebabkan kadar permintaan yang sangat tinggi, Toyota turut mengumumkan tempahan bagi kumpulan pertama GR Supra GT4 telah pun habis terjual. 
 


Antara pasukan yang telah melakukan pembelian termasuklah Ring Racing dari Jerman untuk kejuaraan ADAC GT4 Germany sebanyak dua unit, CMR (satu unit) untuk perlumbaan European GT4 Series dan French GT4 Series, serta Speedworks Motorsport (satu unit) untuk perlumbaan British GT Series. 

Tempahan untuk kumpulan kedua telah pun dibuka dan fasa penghantaran kepada pelanggan akan dibuat pada musim panas nanti.