Toyota GR Supra 2023 - kini dengan transmisi manual!

oleh Mohamad Hanif|
Ketika GR Supra mula menerjah dunia kembali setelah 21 tahun menghilang, ramai di antara peminatnya yang mempersoalkan ketiadaan varian manual bagi jenama kereta sports ikonik itu.
BHPETROL Euro5 Diesel MREC Banner Campaign Sep 2023

Kini, Toyota memenuhi permintaan mereka dengan melancarkan GR Supra 2023 yang kini didatangkan dengan transmisi manual enam nisbah kelajuan serba baharu yang direka khas untuk model kereta sports pacuan belakang itu.

Menurut Toyota, pasukan jurutera telah melakukan perubahan terhadap komponen seperti perumah transmisi, aci pacuan dan set gear sedia ada, dan membuang komponen yang tidak diperlukan seperti pakej akustik untuk menjimatkan berat badan.

Selain itu, GR Supra ini turut menampilkan nisbah pacuan akhir yang dipendekkan bagi menambah baik pecutan permulaan.
 

GR Supra


Kotak gear manual ini juga turut mendapat kelengkapan perisian yang mampu mengoptimasikan daya kilas enjin dan boleh dimatikan dalam mod pemanduan Sport.

Tidak cukup dengan itu, ciri keselamatan seperti kawalan cengkaman, kawalan kestabilan dan sistem anti-oleng telah ditala semula untuk model Supra bertransmisi manual ini.

Mod pemanduan Track ditala kembali bagi membolehkan aksi pemanduan drift dilakukan dengan lebih mudah, diikuti dengan fungsi Hairpin+ bagi menjadikan pemanduan di selekoh yang jauh lebih mengujakan.
 

GR Supra


Dari segi kuasa, GR Supra 2023 masih lagi kekal dengan enjin enam silinder sebaris 3.0 liter yang mampu menghasilkan kuasa setinggi 382 hp dan 497 Nm.

Selain itu, Toyota turut menala kembali sistem suspensi dan penyerap hentak bagi mempertingkatkan tahap keselamatan dan keseimbangan olengan, diikuti dengan differential aktif belakang serta sistem stereng berkuasa elektrik yang turut disemak semula.

Sebagai meraikan kemunculan semula model GR Supra manual, Toyota turut melancarkan edisi terhad A91-MT Edition yang hanya ditawarkan sebanyak 500 unit, layangan warna Matte White atau CU Later Gray, diikuti dengan aksen merah, serta rim tempa bersaiz 19 inci dengan kemasan Frozen Gunmetal Gray.
 

GR Supra


Model edisi khas itu juga turut mendapat tempat duduk balutan kulit Cognac, tombol gear balutan Alcantara dengan lencana GR, dan sistem audio JBL dengan 12 pembesar suara.

Toyota GR Supra 2023 akan mendarat di pasaran US pada tahun ini dan harga jualan hanya akan diumumkan kelak.

Berita Berkenaan

Berita Global
Menurut Toyota, model ini merupakan tribut kepada jentera Supra Mk4 dengan penawaran dua warna unik…
Berita Global
Mereka turut melancarkan kempen iklan bersiri, di mana dua daripadanya telah pun disiarkan sebelum…
Berita Global
Model pacuan roda belakang tersebut dibangunkan menerusi kerjasama dengan BMW, di mana ia banyak…