Hanya beberapa pasaran menerima Toyota GR Supra dengan enjin bersesaran yang lebih kecil - 2.0 liter - seperti Jepun.
Namun, tahun 2020 ini, Toyota nampaknya mahu menawarkan pilihan yang lebih mampu milik kepada mereka yang mahu merasai pengalaman pemanduan di dalam Toyota Supra.
Atas kertas, enjin B48B20 2.0 liter turbo ini tidaklah sekuat prestasi enjin B58B30, namun masih mampu menjana 254 kuasa kuda dan 400 Nm daya kilas yang dipadankan dengan transmisi ZF automatik lapan nisbah kelajuan.
Jika diterjemahkan kepada prestasi sebenar, ia mampu memecut sepantas 5.2 saat (0-100 km/j) dengan kelajuan tertinggi dihadkan secara elektronik pada takat 250 km/j.
Kuasa yang kurang itu diseimbangkan kembali kepada penawaran berat yang lebih ringan (kurang 100 kg), terima kasih kepada penggunaan enjin yang kecil dan dibantu dengan pembahagian berat yang ideal 50:50.
Toyota GR Supra 'aras mula' ini didatangkan dengan kelengkapan standard seperti rim bersaiz 18 inci, skrin paparan 8.8 inci dengan empat pembesar suara serta kerusi sports hitam Alcantara.
Manakala ciri keselamatan seperti pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal, fungsi brek kecemasan, bantuan kekal laluan dengan stereng aktif, bantuan kelajuan pintar dan bantuan papan tanda jalan turut dilengkapkan.
Seperti biasa, terdapat pakej opsyen yang ditawarkan iaitu
- Connect - tambahan sistem navigasi dan mobiliti
- Sport - naik taraf sistem brek, suspensi adaptif dan differential aktif
Pakej Premium membolehkan anda menambah beberapa aksesori yang lebih mahal seperti sistem bunyi JBL dengan 12 pembesar suara, paparan head-up, pengecas peranti pintar nirwayar, tempat duduk boleh laras dengan fungsi memori, ciri pencahayaan suram dan pakej Connect yang disebutkan di atas.
Untuk pasaran Eropah juga, Toyota turut menawarkan Toyota GR Supra Fuji Speedway edisi terhad di mana anda boleh mendapatkan Supra dengan rim bersaiz 19 inci berwarna hitam matte, pelindung cermin sisi berwarna merah (macam Bezza LE), elemen gentian karbon pada papan pemuka dan upholsteri Alcantara hitam.
Toyota GR Supra Fuji Speedway ini hanya ditawarkan dalam 200 unit terhad sahaja, dan harga jualan termasuk Toyota GR Supra 2.0 liter standard hanya akan diumumkan pada Mac nanti.