
Apa yang mereka buat ialah memasang turbo tunggal Pure Turbo dan dua pendingin antara CSF® pada enjin standard 3.0 liter Supra.
Selepas itu mereka bekerjasama dengan Titan Motorsports®, satu daripada penala terkenal dalam dunia drag untuk mengubahsuai ekzos dan menala Unit Kawalan Elektronik (ECU).
Ubah suai pada ekzos dibuat dengan memasang paip tanpa penukar bermangkin (catalytic converter) dan saluran berukuran 3.5 inci.
Berapa hasil yang diperolehi? 620 kuasa kuda (hp) dan daya kilas 800Nm! Kuasa itu meningkat daripada 335 hp dan daya kilas 495Nm.

Kuasa tambahan itu lebih bermakna sekiranya dapat diterjemahkan di atas tar dan tiba masa untuk set rim dan tayar baharu.
Toyota Motorsports Garage mendapatkan pakar dari Weld Racing® dan Mickey Thompson Performance Tires & Wheels® untuk pakej yang bersesuaian.
Pada bahagian belakang dipasang tayar Mickey Thompson ET Street S/S R2 saiz P305/45R17.
Tayar itu dipasang pada rim Weld Racing Belmont Beedlock saiz 17 x 10 inci dengan ofset 40 dan jarak belakang (back spacing) 7.1.
Bahagian depan dipasang tayar Mickey Thompson Sportsman S/R 26 x 6.00R18LT pada roda Weld Racing Belmont Drag 18 x 5 inci dengan ofset -23 dan jarak belakang 2.1.

Di sebalik rim tersebut, set Brembo® sedia ada sudah memadai dan hanya pad brek asal diganti dengan pad Hawk Performance®.
Bagaimana pula dengan transmisi? Transmisi automatik lapan kelajuan dikekalkan dan ditambah penukar haba berprestasi tinggi CSF dan pendingin transmisi juga dari CSF.
Untuk pacuan, gandar belakang dipertingkatkan dan dibekalkan oleh The Driveshaft Shop.
Pada bahagian dalam, semuanya masih standard kecuali tapi pinggang keledar perlumbaan enam sudut G-Force Racing Gear® dan diikat pada bar harnes.

Pada bahagian luar, Complete Customs® menghasilkan warna yang diinspirasi dari skema warna Toyota Gazoo Racing menggunakan cat Axalta Coating Systems®.
Di sebalik segala ubah suai yang dilakukan, soalan paling penting ialah berapa masa pecutan dalam suku batu? (402 meter).
Pada ujian awal, model pertama Supra 10-Second Twin berjaya mencatatkan masa pada pertengahan 11 saat.
Angka yang dicapai tidak menepati nama sepuluh saat pada model ini dan boleh diterima memandangkan ianya ujian pertama.
Tetapan pada ECU dibuat dan sasaran berjaya dicapai dengan masa 10:984 saat.
Penulis: Muhammad Md Tajudin
