Laman web Goo-Net mendakwa versi sedan GR Corolla akan diperlihatkan paling awal pada pertengahan tahun 2023, dengan membawakan nadi tiga silinder G16E-GTS yang sama dengan kuasa setinggi 300 hp dan sistem pacuan semua roda GR-Four.
Selain daripada itu, GR Corolla versi sedan ini dijangka akan dilancarkan di pasaran Amerika Utara, di mana bentuk badan sedan masih lagi popular.
Untuk makluman, terdapat dua versi Corolla yang dijual di peringkat global, di mana pasaran Jepun sebenarnya mendapat Corolla dengan dimensi yang lebih kecil (4,495 mm x 1,745 mm x 1,460 mm) berbanding model spesifikasi global (4,630 mm x 1,780 mm x 1,435 mm).
Jarak antara roda juga turut memperlihatkan perbezaan, di mana versi Jepun berkongsi jarak antara roda 2,640 mm yang sama dengan model hatchback, berbanding 2,700 mm pada sedan model global.
Laman Goo-Net membuat spekulasi terdapat kemungkinan besar model sedan GR Corolla ini akan berpaksikan kepada model sedan global, di mana ia dilihat satu opsyen yang lebih murah berbanding kos yang diperlukan untuk homologasi bentuk badan yang baharu.
Malah, dengan persamaan yang ada pada model Corolla sedan memungkinkan lebih banyak komponen daripada GR Corolla hatchback diterapkan pada model GR Corolla sedan nanti.
Jika laporan ini benar, kehadiran GR Corolla sedan ini dilihat mampu untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Subaru selepas mereka mengesahkan tidak akan hadir dengan model WRX STI untuk generasi terkini.
Malah, GR Corolla sedan ini juga mampu memberikan saingan sengit kepada sedan prestasi tinggi yang ada di pasaran seperti Hyundai i30 Sedan N.
Sumber: Goo-Net