Toyota GR Corolla sah dipasang di UK, pertama di luar Jepun!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Toyota GR Corolla 2025 - Jepun
Toyota GR Corolla 2025 - Jepun
Berita penting buat peminat kereta berprestasi! Toyota Motor Manufacturing UK (TMUK) akan memulakan pengeluaran model sport berprestasi tinggi, Toyota GR Corolla, bermula tahun 2026.

Pemilihan TMUK di Burnaston, Derbyshire, mencerminkan usaha Toyota untuk mengoptimumkan jejak pengeluaran globalnya bagi menghasilkan dan menghantar kenderaan kepada pelanggan secepat mungkin.

Ia juga mengiktiraf keupayaan TMUK, kakitangan dan rantaian bekalannya, serta budaya sukan permotoran dan pangkalan kemahiran yang mendalam di UK.

Selain itu, kilang tersebut sudah pun menjadi pusat pengeluaran utama bagi model Toyota Corolla standard, menjadikan ia lokasi yang sangat relevan untuk pengeluaran GR Corolla.
Toyota GR Corolla 2025 - Jepun

 

Langkah ini diambil kerana permintaan terhadap produk TOYOTA GAZOO Racing (TGR) sentiasa melebihi pengeluaran.

Pengeluaran ini juga menandakan kali pertama kenderaan berjenama GR akan dipasang di kilang milik penuh Toyota di luar Jepun.

GR Supra, meskipun dihasilkan di Eropah, pemasangannya dilakukan oleh pengeluar kontrak Magna Steyr di Graz, Austria.

Peranan Toyota Motor Europe 

 

TMUK

 

TME bertanggungjawab menyelia jualan borong dan pemasaran kenderaan Toyota, GR (Gazoo Racing), dan Lexus, termasuk alat ganti serta aksesori.

Selain itu, TME juga menguruskan operasi pembuatan dan kejuruteraan Toyota di seluruh benua Eropah.

Sejak tahun 1990, Toyota telah membuat pelaburan besar melebihi EUR 11 bilion di Eropah dan kini menggaji lebih 25,000 pekerja secara langsung.

Syarikat ini memiliki lapan kilang pembuatan di Portugal, UK, Perancis, Poland, Republik Czech, dan Türkiye.

 

TMUK

 

Kira-kira 14.7 juta kenderaan Toyota dan Lexus kini berada di jalan raya Eropah.

Rangkaian sokongan Toyota dan Lexus meliputi 28 Syarikat Pemasaran dan Jualan Nasional serta sekitar 2,800 pusat jualan runcit.

Rangkaian ini beroperasi di 53 negara, termasuklah EU, UK, negara-negara EFTA, Israel, Türkiye dan negara-negara Eropah Timur lain.

Pada tahun 2024, TME berjaya menjual 1,217,132 kenderaan di Eropah, mencatatkan pegangan pasaran sebanyak 7.1%.

2024 juga merupakan tahun istimewa buat TMUK apabila kilang Burnaston berjaya mengeluarkan kereta kelima juta.

Satu yang menarik, unit tersebut adalah sebuah Corolla GR Sport Hatchback hibrid.

GR Corolla - Dari Jepun ke UK

 

Toyota GR Corolla 2025 Jepun

 

TOYOTA GAZOO Racing (TGR), yang ditubuhkan pada 2009 di bawah bimbingan Naib Presiden Eksekutif Toyota Motor Corporation ketika itu, Akio Toyoda, telah menjadi jenama paling pesat berkembang dalam portfolio Toyota.

Pelancaran model seperti GR Supra (2019), GR Yaris (2020), GR86 (2021), dan GR Corolla (2022) menerima sambutan hangat dari pelanggan dan permintaan untuk produk TGR secara konsisten melebihi bekalan.

Pada masa ini, GR Corolla dihasilkan di Jepun untuk pasaran domestik dan eksport ke pasaran lain.

 

Toyota GR86 2022 Eropah

 

Menurut sumber yang dipetik oleh Reuters, GR Corolla adalah salah satu daripada tiga kenderaan berprestasi tinggi yang dibina di barisan pengeluaran khusus di Kilang Motomachi di Toyota City, di mana kapasiti pengeluaran sudah mencapai tahap maksimum.

Perpindahan sebahagian pengeluaran dari Jepun ini, seperti yang dilaporkan oleh Reuters, bertujuan untuk memanfaatkan kapasiti lebihan di kilang Britain bagi mengurangkan masa menunggu penghantaran kenderaan berprestasi tinggi ini, terutamanya untuk pasaran Amerika Utara.

Perpindahan ini juga dinyatakan tidak berkaitan dengan sebarang isu tarif import kenderaan, demikian kata sumber yang dipetik oleh Reuters.

 

Toyota GR Supra A90 Final Edition

 

Yoshihiro Nakata, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Toyota Motor Europe, meluahkan rasa bangganya:

"Kami berbangga bahawa TMUK, kilang pertama kami di Eropah, telah dipilih sebagai kilang Toyota luar negara pertama untuk menghasilkan kenderaan GR, sekaligus mengukuhkan projek pengembangan TGR di seluruh dunia ini. Kami amat menghargai sokongan dan pengiktirafan bersejarah daripada United Kingdom dan berhasrat untuk terus menyumbang kepada masyarakat UK sebagai syarikat 'Terbaik di Bandar'."

Persiapan di TMUK telah pun dimulakan sejak 2024, dengan kenderaan pertama dijangka akan mula dihasilkan pada tahun 2026.

Butiran lanjut mengenai pasaran jualan, jumlah pengeluaran, dan tahap pelaburan akan disahkan pada masa hadapan.

Persoalan lain? Berapa lama lagi di pasaran?

Toyota Corolla Hatchback

Dengan pengeluaran GR Corolla bermula di TMUK pada tahun 2026, ia membuka beberapa persoalan menarik tentang masa depan model ini dan peranan pasaran Eropah.

Pengesahan persiapan di UK sejak 2024 juga menimbulkan persoalan apa yang bermain di fikiran Toyota.

1. Kitaran Hayat Model dan Potensi Pengganti:

GR Corolla, yang diperkenalkan pada tahun 2022, dibina berasaskan platform Toyota Corolla generasi ke-12 (E210), yang mula diperkenalkan di pasaran sejak 2018/2019.

Ini bermakna apabila pengeluaran di TMUK bermula, model ini akan berada di pasaran global selama kira-kira empat tahun.

Memandangkan kitaran hayat model automotif lazimnya berlangsung sekitar 5 hingga 7 tahun, apa jadi pada GR Corolla jika model pengganti Corolla diperkenalkan?

Atau adakah Toyota merancang untuk memastikan model sedia ada ini terus relevan untuk tempoh yang lebih panjang, terutamanya dengan pelaburan baharu dan permintaan global yang stabil?

2. Kedudukan GR Corolla di Pasaran Eropah yang Beralih ke Elektrikasi:

 

Toyota GR Yaris

 

Satu aspek yang menarik perhatian ialah kedudukan GR Corolla di pasaran Eropah.

Meskipun GR Corolla bakal dipasang di UK, model ini tidak dijual secara rasmi di kebanyakan pasaran Eropah dan UK pada masa ini.

Di UK, Corolla Hatchback dan Touring Sports hanya ditawarkan dalam versi 1.8 liter dan 2.0 liter hibrid.

Walaupun begitu, pengguna di Eropah masih dapat merasa enjin G16E-GTS 1.6 liter turbo dengan hanya tiga silinder melalui GR Yaris. Tidak dilupakan model ikonik GR Supra dan GR86.

Untuk makluman, Honda tetap menawarkan Civic Type R di Eropah dengan enjin petrol berprestasi tinggi dan dijual seiring model e:HEV (hibrid).

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Toyota GR Corolla 2025 Jepun.13

 

Berita Berkenaan

Berita Global
  Bagi memastikan prestasi enjin kekal konsisten walaupun dipandu dalam beban tinggi, TGR turut…
Berita Global
  Pada 2 Ogos 2024, Toyota memperkenalkan GR Corolla di Amerika Syarikat (AS) dan kini giliran…
Berita Global
  Jika 'Toyota Universe' diambil kira, Lexus LBX Morizo RR juga siri berprestasi dengan enjin…