Di pasaran Jepun, Toyota dilapor menawarkan 550 unit GR Corolla yang telah ditambahbaik, di mana pembeli akan dipilih menerusi cabutan undi loteri pada September nanti.
Perubahan yang dibawakan pada GR Corolla baharu itu lebih fokus kepada aspek pemanduan, di mana Toyota telah menggunakan bolt pengetat di bahagian gantungan hadapan dan kotak gear stereng.
Sementara untuk bahagian suspensi belakang, saiz kepala bolt yang digunakan bertambah sebanyak 2 mm kepada 24 mm.
Menurut Toyota, perubahan tersebut bertujuan menjadikan casis lebih tegar, sekaligus menjadikan respons stereng yang lebih pantas dan lebih stabil di jalan lurus.
Aspek kestabilan pemanduan turut dipertingkatkan dengan mengubah bukaan liang bampar hadapan untuk mengoptimasikan aliran udara, serta mengurangkan kesan seretan sewaktu pemanduan berkelajuan tinggi.
Akhir sekali, Toyota GR Corolla pasaran Jepun bakal ditawarkan dalam warna baharu cyan metallic dan warna dalaman gandingan hitam/biru, di mana kombinasi ini hanya boleh dibeli oleh 50 orang sahaja.
Permohonan untuk membeli GR Corolla edisi terhad ini akan dibuka pada 23 Ogos hingga 11 September 2023, di mana setiap satu dijual pada harga bermula 5.25 juta yen (RM168,091).