Menurut laporan daripada Forbes, selain daripada hot hatch GR Corolla Sport yang dijadualkan hadir pada tahun hadapan, Toyota juga dikatakan akan memperkenalkan model berenjin pembakaran dalaman dengan suapan bahan api hidrogen untuk model Corolla standard serta Toyota Prius.
Berdasarkan laporan terdahulu oleh Best Car Web, GR Corolla Sport bakal menampilkan enjin tiga silinder sebaris 1.6 liter turbo, transmisi manual serta sistem pacuan semua roda GR Four yang sama didapati pada Toyota GR Yaris, dengan kuasa setinggi 300 hp dan daya kilas 350 Nm.
Laporan daripada Forbes turut mendakwa Toyota bakal membawakan model Corolla yang menggunakan bahan api hidrogen menjelang tahun 2023.
Tidak seperti kenderaan sel bahan api, Corolla berkuasa hidrogen ini masih lagi menggunakan enjin pembakaran dalaman konvensional, dan menurut Toyota konfigurasi ini menghasilkan emisi CO2 hampir sifar, serta sedikit kandungan NOx.
Keberkesanan 'eksperimen' ini telah dibuktikan sendiri oleh pasukan lumba Toyota menerusi acara Super Taikyu Series 24 Jam.
Dalam perlumbaan tersebut, jentera lumba Corolla Sport itu menggunakan menggunakan enjin asal 1.6 liter tiga silinder sebaris dari GR Yaris yang disuap dengan bahan api hidrogen dengan sedikit modifikasi yang perlu dilakukan, sementara bahan api hidrogen termampat pula disimpan dalam empat tangki bahan api yang diperbuat daripada gentian karbon.
Akhir sekali, Toyota Prius serba baharu dijangka hadir pada Disember 2022 yang bakal ditawarkan dengan enjin 1.8 liter hibrid, diikuti dengan versi plug-in hybrid berkuasa hidrogen.
Sumber: Forbes