Jika 'Toyota Universe' diambil kira, Lexus LBX Morizo RR juga siri berprestasi dengan enjin sama seperti GR Yaris dan GR Corolla.
Hatchback berprestasi ini dikeluarkan sejak 2022 dan dilancar di pasaran tempatan pada Februari 2023 dengan harga RM355,000.
Selepas GR Yaris dipertingkat pada Januari lalu kini tiba GR Corolla tahun (MY) 2025 diperkenal.
Perubahan paling besar terletak pada penawaran kotak gear lapan kelajuan GAZOO Racing Direct Automatic Transmission (DAT).
Ibarat kereta lumba, pemandu boleh menukar gear menggunakan pedal pada stereng.
Tidak seperti GR Yaris dengan panel papan pemuka baharu, GR Corolla kekal seperti sebelum ini.
GR Corolla telah diuji oleh pemandu rali dan litar di beberapa litar lumba di antara yang paling mencabar di dunia termasuk Fuji International Speedway.
Selain kotak gear baharu, daya kilas GR Corolla dari enjin tiga silinder lebih tinggi seiring GR Yaris dan LBX Morizo RR.
Secara keseluruhan, perubahan dibuat pada bampar depan, kuasa enjin, kotak gear dan perkakasan pengendalian.
Ciri-ciri Toyota GR Corolla 2025:
Enjin
- 1.6 liter G16E-GTS, 3 silinder turbo
- 300 hp pada 6,500 rpm
- Daya kilas bertambah 30Nm kepada 400Nm dari 3,250 - 4,600 rpm. Angka sama seperti GR Yaris dan LBX Morizo RR.
- Penyejuk bendalir kotak gear automatik sebagai ciri asas - memastikan kuasa enjin lebih tinggi dan DAT pada suhu optimum untuk prestasi
- Sub radiator - ciri asas pada varian Premium Plus, pilihan untuk Premium
Kotak gear GR DAT
- DAT membolehkan pemandu memberi lebih tumpuan pada pecutan, brek dan stereng
- Perisian kawalan DAT dioptimum untuk pemanduan sporti
- Berbeza daripada kotak gear automatik GR Supra dan GR86 - tukaran gear bergantung kepada penderiaan tingkah laku kenderaan seperti daya g dan kelajuan
- Perisan DAT melakukan pengesanan melalui cara pemandu menekan injak brek dan mengoperasikan injak pemecut
- Input tersebut diguna untuk menentukan waktu penukaran gear optimal dan lebih awal daripada perubahan tingkah laku kereta berlaku
- Pemilihan gear adalah selari dengan hasrat pemandu dan penukaran gear seperti pemandu profesional
- Asas kepada tetapan nisbah gear rapat DAT berdasarkan pengujian di litar dan rali
- Tetapan DAT mengoptimumkan titik tukaran gear dan memberikan nisbah seperti kotak gear manual enam kelajuan (6MT) yang memaksimumkan penghantaran kuasa dan daya kilas enjin kepada roda
- Pemanduan biasa di lebuh raya rasa bertenaga dengan kotak gear mengoptimumkan kelajuan enjin (RPM) pada kelajuan jajap
- 4 mod pemanduan - Sport, Normal, ECO dan Custom
- DAT ditala khusus untuk mod Sport
- Diuji di serata dunia termasuk litar lumba
Pengendalian
- Semasa pengujian di Fuji International Speedway, jurutera mahu menambah baik cengkaman ketika melalui selekoh dengan berprestasi
- Untuk itu, gegelung lantunan dipasang pada ampaian depan dan belakang bagi menekan angkatan roda bahagian dalam
- Gegelung dan penstabil belakang ditambah baik untuk membantu meningkatkan tindak balas cengkaman jalan dan kebolehkawalan apabila membelok
- Kedudukan cagak lengan mengekor (trailing arm) gandar belakang ditinggikan bagi mengurangkan mendapan (squat) semasa memecut
- Perubahan pada cagak mengurangkan perubahan kedudukan kereta dan meningkatkan tindak balas daya pacuan semasa memecut, kedudukan di selekoh juga stabil
- Pembeza gelincir terhad (LSD) Torsen® depan dan belakang dijadikan ciri asas untuk semua varian
- Kawalan Mula Pandu (Launch control) untuk GR Yaris dengan DAT
Sistem Pacuan Semua roda GR-FOUR
- Dibangunkan dengan kerjasama Pasukan Rali Dunia Toyota Gazoo Racing
- Mod Normal, Gravel atau Track AWD untuk melaras pembahagian daya kilas depan dan belakang
- Mod Normal (60:40) untuk pemanduan harian, Gravel (50:50) untuk cengkaman tertinggi
- Mod Track melaras pembahagian secara berterusan dari 60:40 kepada 30:70 berdasarkan input pemandu dan status kereta
Dari segi rekaan, bahagian depan jelas berbeza dengan bampar baharu bagi menambah baik keseimbangan di antara penyejukan dan prestasi aerodinamik.
Rekaan baharu itu memberi ruang kepada radiator, pendingin antara, saluran brek, sub radiator dan pendingin bendalir kotak gear ditempatkan di sebalik bampar depan.
Saluran brek dipertingkat supaya udara ditarik dengan lebih berkesan.
Tirai udara menghasilkan aliran udara ke dalam pada bahagian atas tayar bagi mengalirkan udara dari atas ke sisi.
Gelora pada sekeliling tayar disekat supaya aliran udara bergerak lancar ke belakang dan meningkatkan kestabilan pengendalian.
GR Corolla 2025 pasaran Amerika Syarikat ditawarkan dalam tiga varian iaitu Core, Premium dan Premium Plus.
Kesemua varian menggunakan rim 18 inci dan Premium Plus istimewa dengan rim hitam kusam.
Varian teratas itu juga dilengkapi bumbung gentian karbon, tukup membonjol dengan liang udara, sub radiator, sistem papar pandu (HUD) dan kerusi balutan suede Brin Naub.
Kesemua GR Corolla dilengkapi Toyota Safety Sense 3.0 (TSS 3.0), Toyota Audio Multimedia dengan skrin sentuh lapan inci dan skrin meter digital 12.3 inci boleh ubah.
Penulis: Muhammad Md Tajudin