Toyota GR Corolla 2023 - enjin 1.6 liter turbo 300 hp, 370 Nm, sistem AWD GR-Four

oleh Mohamad Hanif|
Ucapkan selamat datang kepada ahli baharu keluarga Gazoo Racing, iaitu Toyota GR Corolla 2023.

Seperti yang pernah dilaporkan, GR Corolla membawakan unit trenkuasa daripada adiknya GR Yaris, iaitu nadi tiga silinder sebaris 1.6 liter turbo (kod enjin G16E-GTS).

Namun, ia hadir dengan talaan yang lebih berkuasa, iaitu 300 kuasa kuda @ 6,500 rpm dan daya kilas 370 Nm @ 3,000-5,500 rpm yang dipadankan dengan transmisi manual dan fungsi rev-match.

Ia adalah jauh lebih berkuasa berbanding output GR Yaris yang hanya menghasilkan 257 hp dan 360 Nm.
 

GR Corolla


Sistem pacuan semua roda GR-Four adalah standard, dengan tiga pemilihan pengagihan tork, iaitu 60:40 (Normal), 30:70 (Sport) dan 50:50 (Track).

Toyota GR Corolla dibangunkan menggunakan platform GA-C yang telah dimodifikasi dengan penambahan titik kimpalan untuk memperkukuh dan menguatkan lagi struktur casis.

Penggunaan bahan ringan aluminium boleh didapati pada bahagian hud enjin dan panel pintu depan untuk penjimatan berat badan, sementara bahagian bawah badan pula adalah rata untuk mengurangkan kesan seretan.
 

GR Corolla


Sistem suspensi pula terdiri daripada strut MacPherson di depan, dan sistem double-wishbone di bahagian belakang.

Rim pula bersaiz 18 inci dengan 15 bilah jejari yang dibaluti tayar Michelin Pilot Sport 4 bersaiz 235/40R18.

Sistem brek terdiri daripada angkup empat omboh dengan rotor brek slotted dan berventilasi sementara di bahagian belakang pula menampilkan angkup brek dua omboh.

Segala sisa pembakaran disalurkan keluar menerusi sistem ekzos dengan tiga corong yang unik, di mana dua daripadanya berbentuk bulat sementara corong tengah pula diakhiri dengan tip yang lebih besar.
 

GR Corolla


Sementara ruang kabin pula dilengkapi dengan skrin kluster digital bersaiz 12.3 inci yang memaparkan menu mod pacuan semua roda, tekanan turbo, indikasi posisi gear dan juga takometer, diikuti dengan skrin infotainmen bersaiz lapan inci di bahagian tengah.

Menariknya, GR Corolla turut didatangkan dengan ciri short-throw shifter yang membolehkan pemandu mencapai postur pemanduan yang lebih natural.

Toyota menawarkan upholsteri kulit sintetik dan suede palsu Brin Naub dengan tema warna merah dan hitam.
 

GR Corolla


Untuk pasaran Amerika Syarikat, GR Corolla boleh didapati dalam dua trim berbeza iaitu versi asas diikuti dengan versi Circuit Edition yang akan muncul pada tahun depan.

Versi Circuit Edition menawarkan pakej naiktaraf seperti bumbung gentian karbon, angkup brek berwarna merah dengan logo GR, LSD Torsen depan dan belakang, sistem kawalan iklim automatik, serta penawaran warna putih, Supersonic Red dan Heavy Metal.

Selain itu, terdapat juga opsyen Cold Weather di mana GR Corolla ini boleh dipasangkan dengan alat pemanas pada tempat duduk dan roda stereng, sementara pakej Technology pula menambah ciri navigasi, sistem stereo yang dinaiktaraf dan pengecasan peranti pintar nirwayar.

Harga jualan akan diumumkan kelak.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Ini adalah berdasarkan beberapa komponen yang dilihat menyamai apa yang ditawarkan daripada adik-…
Model Terbaharu
Dilancarkan secara rasmi di Thailand hari ini, Toyota Yaris Ativ mampu memberikan saingan sengit…
Berita Global
Toyota Camry Malaysia 2022   Reka bentuk Camry yang dipaparkan ini juga berbeza dengan pasaran…