Toyota GT86 Mk2 akan menampilkan platform TNGA pacuan roda belakang serba baharu yang hadir dengan enjin boxer turbo 2.4 liter yang mampu menjana sehingga 255 kuasa kuda.
Menurut laporan terdahulu, generasi baharu GT 86 tidak lagi akan memakai awalan 'GT', sebaliknya ia akan memakai awalan 'GR' menandakan GR 86 merupakan sebahagian daripada keluarga Gazoo Racing.
Selain daripada Toyota GR 86, beberapa model lain turut berada di dalam garis masa perancangan Toyota seperti:
Corolla Cross - crossover berasaskan model Corolla akan hadir menjelang tahun 2022, dan diproduksikan di kilang kongsi Toyota-Mazda di Alabama.
Camry - model sedan segmen D ini akan menerima kemaskini pada tahun 2021 sebelum generasi baharu muncul pada tahun 2024.
Venza - sebuah lagi model crossover saiz pertengahan akan hadir sebagai model tahun 2021.
4Runner/Tacoma/Sequoia/Tunda - kesemua model yang dimaksudkan ini akan berkongsi platform yang serupa iaitu TNGA-F, dan akan dilengkapkan dengan nadi hibrid V6 turbo berkembar bagi menggantikan peranan enjin V8.
Land Cruiser/Lexus LX - Land Cruiser akan meneruskan elemen sebagai sebuah SUV off-road sejati, namun didatangkan dengan dua baris tempat duduk sahaja dengan harga jualan yang lebih rendah.
Kembar mewahnya, Lexus LX pula akan dibangunkan dengan enjin hibrid V6 turbo berkembar serta kelengkapan yang mampu menandingi Bentley Bentayga!
Sedan Lexus - model-model sedan Lexus kebanyakannya masih lagi baharu seperti ES dan LS dan diberitakan bakal menerima kemaskini pada tahun 2022.
Namun, sedan GS dilaporkan akan digantikan sebagai sebuah model Lexus menggunakan asas daripada Toyota Mirai, namun dengan kemasan yang lebih mewah, dan dikuasakan oleh trenkuasa sel bahan api hidrogen.
Crossover Lexus - Lexus NX dan RX akan dibangunkan menggunakan platform baharu TNGA-K.
Lexus RC/LC - Lexus difahamkan tidak akan menawarkan lagi nadi V8 untuk mana-mana model yang berharga di bawah $90,000, jadi model Lexus RC akan didatangkan dengan nadi hibrid V6 turbo.
Namun, untuk model Lexus LC F, Lexus akan menawarkan enjin 5.0 liter V8 turbo berkembar untuk kemaskini terakhir yang akan menjengah pasaran menjelang 2022.