Dakar jadi makmal ujian teknologi hidrogen
Menurut Toyota, penyertaan dalam Dakar Rally bukan sekadar untuk berlumba, sebaliknya menjadi platform menguji ketahanan teknologi FCEV dalam keadaan operasi paling mencabar.
Laluan Dakar yang terkenal dengan suhu tinggi, bukit pasir, laluan berbatu serta peringkat perlumbaan yang panjang dianggap sebagai persekitaran terbaik bagi mempercepat pembangunan teknologi tersebut.
Sepanjang projek ini, Toyota memberi fokus kepada beberapa aspek utama, termasuk:
- Pengecilan saiz sistem sel bahan api.
- Sistem penyejukan yang lebih cekap.
- Ketahanan komponen dalam keadaan melampau.
- Pengurusan tenaga yang lebih cekap.
Data yang dikumpulkan sepanjang pembangunan dan perlumbaan akan digunakan bagi mempertingkat penggunaan teknologi sel bahan api untuk pelbagai sektor.
Ini termasuk kereta penumpang, trak, bas, kereta api, marin, jentera perlumbaan serta penjana kuasa pegun.
Selain itu, jurutera Toyota turut berpeluang meningkatkan kemahiran menyelesaikan masalah menerusi pengalaman pembangunan dan operasi sebenar di lokasi perlumbaan.
Program pembangunan sudah bermula
Toyota memaklumkan pembangunan DKR GR FC Hilux kini sedang dijalankan di Belgium.
Kerja-kerja pemasangan jentera, pembangunan perisian kawalan serta penalaan sistem rangkaian kuasa FCEV telah pun dimulakan.
Fasa seterusnya adalah program ujian secara berperingkat dalam beberapa bulan akan datang.
Bertanding dalam kategori Dakar Future Mission 1000
Dakar Rally 2027 dijadual berlangsung di Arab Saudi dari 1 hingga 15 Januari 2027, dengan King Abdullah Economic City menjadi lokasi permulaan dan penamat perlumbaan.
DKR GR FC Hilux akan bersaing dalam kategori Dakar Future Mission 1000, iaitu kelas khas yang diwujudkan untuk kenderaan eksperimen serta demonstrasi teknologi baharu.
Kategori tersebut menggunakan format tersendiri dengan pemandu dan juruarah berlumba dalam 13 peringkat melibatkan kira-kira 1,000 kilometer laluan kompetitif.
Melalui penyertaan itu, Toyota berharap dapat membuktikan prestasi, keselamatan serta kebolehpercayaan teknologi sel bahan api dalam keadaan perlumbaan sebenar.
Sebahagian strategi neutral karbon Toyota
Penyertaan dalam Dakar Future Mission 1000 merupakan sebahagian usaha Toyota ke arah mencapai neutral karbon dalam sukan permotoran sambil mengembangkan potensi teknologi berkaitan hidrogen.
Usaha Toyota dalam bidang ini sebenarnya bermula sejak 2021.
Pasukan Rookie Racing menurunkan ORC ROOKIE Corolla H2 Concept yang menggunakan enjin pembakaran hidrogen dalam siri Super Taikyu di Jepun.
Dalam perlumbaan rali, Toyota memperkenalkan GR Yaris H2 menerusi demonstrasi di Ypres Rally 2022.
Pembangunan teknologi itu kemudian diteruskan dengan GR Yaris Rally2 H2 Concept yang membuat penampilan di Rally Finland 2025 dan Rallye Monte-Carlo 2026.
Bagi Dakar Rally pula, Toyota melalui kerjasama dalam Hydrogen Small mobility & Engine technology Association (HySE) menyaksikan HySE-X1 berjaya menamatkan saingan Dakar Future Mission 1000 pada 2024.
Kejayaan itu diteruskan menerusi penyertaan HySE-X2 pada edisi 2025.
Dalam perlumbaan litar pula, TR LH2 Racing Prototype berkuasa enjin hidrogen cecair membuat pusingan demonstrasi pada perlumbaan 24 Hours of Le Mans 2026.
Selain itu, GR Corolla berenjin hidrogen yang dilengkapi teknologi superkonduktor menjadi kenderaan pertama seumpamanya di dunia berjaya menamatkan perlumbaan dalam siri Super Taikyu 2026.
Kali pertama gabungkan teknologi hidrogen dan sel bahan api
Menurut Toyota, Dakar Future Mission 1000 tahun 2027 merupakan penampilan pertama gabungan teknologi hidrogen dan sistem sel bahan api dalam program sukan permotorannya.
Melalui projek DKR GR FC Hilux, Toyota berharap dapat mempercepat pembangunan teknologi hidrogen sambil terus meneroka penyelesaian mobiliti neutral karbon untuk kegunaan di dalam dan luar litar perlumbaan.
Penulis: Muhammad Md Tajudin