Toyota Gazoo Racing Australia bina GR Yaris AP4 untuk rali ARC 2021!

oleh Mohamad Hanif|
Toyota Australia menerusi divisyen Gazoo Racing baru-baru ini telah memperlihatkan secara rasmi jentera rali GR Yaris yang bakal digunakan untuk kejuaraan Australian Rally Championship akan datang.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Jentera GR Yaris ini dibangunkan dengan kerjasama Neal Bates Motorsports dan bertanding menerusi kelas AP4, di mana ia merupakan regulasi FIA untuk rantau Asia Pasifik yang hampir menyamai regulasi R5 yang digunakan di Eropah.

Projek GR Yaris AP4 ini bermula sejak Mac 2020, di mana pembangunan jentera ini turut mendapat sokongan daripada unit Pembangunan dan Perancangan Produk Toyota (PP&D) di Melbourne.

 


Ia menampilkan kit aero, penambahan arca roda yang sangat lebar, skup udara yang nipis serta pemasangan sayap belakang besar yang diperbuat daripada gentian karbon.

Menurut ketua unit rekaan Toyota Australia Nic Hogios yang turut bertindak sebagai ketua projek GR Yaris AP4 berkata, "projek (GR Yaris AP4) ini amat menarik, kerana ia menggunakan asas yang sudah pun cukup mantap dalam kondisi sebagai sebuah jentera jalanan.

"GR Yaris sudah pun satu platform yang amat mengkagumkan, kami mempunyai bumbung gentian karbon, pintu aluminium, enjin tiga silinder sebaris turbo paling ringan dan paling berkuasa dalam dunia, stance yang lebar dan sistem pacuan semua roda - GR Yaris sememangnya dilahirkan untuk berlumba rali!"

 


Harus diingat, GR Yaris lahir dari dunia rali, dan ia menerima banyak input dan pengetahuan daripada penglibatan Toyota dalam WRC agar menjadikan casis, pacuan, serta rangka badan mencapai tahap prestasi yang diingini oleh pasukan Toyota Gazoo Racing.

Enjin yang digunakan pula bukanlah enjin standard empat silinder sebaris, sebaliknya ia menggunakan nadi inline-3 1.6 liter dengan bantuan induksi paksaan turbo yang menghasilkan 272 PS dan 370 Nm.

Kuasa tersebut disalurkan kepada sistem pacuan 4WD GR-Four yang serba baharu menerusi transmisi Intelligent Manual Transmission (iMT) enam nisbah kelajuan dengan tiga mod pemanduan yang berbeza iaitu Normal (60:40), Sport (30:70) dan Track (50:50).
 


Neal Bates Motorsports akan membina dua unit GR Yaris AP4 untuk musim ARC 2021, dan dengan kebanyakan acara WRC dibatalkan akibat wabak pandemik COVID-19, acara ARC merupakan satu-satunya peluang untuk kita menyaksikan aksi GR Yaris AP4 dalam dunia rali sebenar.