Toyota Fortuner 2021 facelift - lebih agresif, lebih sporty!

oleh Mohamad Hanif|
Selain pelancaran model facelift trak pikap Toyota Hilux semalam, Toyota turut membawakan kemaskini terhadap model SUV Fortuner yang dibina berasaskan Hilux itu tadi.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Untuk menjadikan Fortuner lebih malar segar, beberapa perubahan telah dibuat bermula dari sepasang lampu utama yang lebih nipis rekaannya serta dilengkapi dengan ciri lampu nyalaan siang jenis LED terbina.

 


Kemasan di bahagian hadapan diteruskan dengan binaan gril yang diperbesar dan didatangkan dengan rekaan mesh melintang berwarna hitam, sementara bumper pula direka supaya lebih agresif menampilkan perumah lampu kabus dan bergantung kepada varian yang ditawarkan.

Tidak dilupakan, rekaan lampu belakang juga turut diberikan nafas baharu.

 


Varian Fortuner standard mendapat kelengkapan seperti set rim bersaiz 18 inci, kluster meter Optitron rekaan baharu dengan skrin MID 4.2 inci, skrin infotainmen 8 inci dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, paddle shifter, dan juga pendingin hawa automatik.

Unit enjin pula kekal dengan nadi 2.4 liter diesel yang menghasilkan 150 PS dan 400 Nm yang digandingkan dengan transmisi automatik enam nisbah kelajuan.

 


Sementara model yang lebih premium pula digelar sebagai Fortuner Legender, di mana ia menampilkan rekaan yang lebih agresif dan sporty.

Tidak seperti Fortuner standard, Legender mendapat kelengkapan seperti set rim bersaiz 20 inci, lampu projektor berkembar LED, jalur LED tambahan pada bumper, bumbung dan tiang berwarna hitam, serta rekaan bumper belakang serba baharu.

 


Varian Legender turut mendapat kemasan balutan kulit dua tona di bahagian dalam, rekaan meter Optitron yang berlainan berbanding varian asas, paparan 360 darjah, sistem audio JBL, pencahayaan ambien, slot pengecasan nirwayar, dan skrin infotainmen bersaiz 9 inci.

Manakala penawaran enjin pula ditambah dengan nadi diesel baharu yang terdapat pada model Hilux, iaitu enjin 2.8 liter yang mampu menjana 204 PS dan 500 Nm.

Selain daripada itu, varian Legender juga turut mendapat butang fungsi yang terletak bersebelahan dengan tombol gear, membolehkan pemandu menukar mod pemanduan yang terdiri daripada Eco, Normal dan Sport.

 


Sudah pasti, sebagai varian tertinggi, Fortuner Legender mendapat kelengkapan penuh seperti Toyota Safety Sense yang merangkumi ciri Kawalan Pelayaran Radar Dinamik, Sistem Pra-Pelanggaran, dan Amaran Keluar Laluan.

Harga jualan di Thailand bermula dari 1.319 juta baht (RM178,060) untuk versi asas manakala varian Legender pula didatangkan harga bermula dari 1.577 juta baht (RM213,465) sehingga 1.852 juta baht (RM250,689).

Berita Berkenaan

Berita Global
Perkara itu disahkan oleh Naib Presiden Kanan Jualan dan Pemasaran TSAM, Leon Theron dalam satu…
Berita Domestik
  Raub turut berkata, "siasatan mendapati suspek sengaja memberhentikan kenderaan secara mengejut…
Berita Domestik
Pengenalan model MPV tujuh tempat duduk itu dijangka akan menjadi detik penting buat UMWT, di mana…