Toyota Estima rempuh Ford Ranger, seorang maut

oleh SALINA JALIL|
gambar dari Info Bencana Terengganu
Hasrat seorang suri rumah bersama keluarga untuk menziarah ibunya di Dungun tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 380.5, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Ajil di Hulu Terengganu semalam.


Dalam kejadian pada pukul 10.15 pagi itu, mangsa, Nurshahyda Mohd. Zaki, 29, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

 

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, sewaktu kejadian, Nurushahyda bersama suami, Ahmad Rakeymi Hafey Roslam, 29, dan anak mereka, Nur Ammara Safiyya, lima bulan dalam perjalanan ke rumah ibunya di Kampung Tanjung Pagar, Dungun dari rumah mereka di Kampung Saujana, Setiu.

 

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger dinaiki mereka tiba-tiba dirempuh oleh kenderaan pelbagai jenis, Toyota Estima dipandu seorang remaja lelaki berusia 19 tahun.

 

“Sebelum kejadian, kenderaan Toyota Estima yang dipandu seorang pelajar institusi pengajian tinggi di Dungun tersebut dikatakan cuba memotong kenderaan Ford Ranger dinaiki mangsa sebelum hilang kawalan lalu terbabas,” katanya.

 

Mohd. Adli berkata, kenderaan pelbagai jenis Toyota Estima dipandu remaja tersebut kemudiannya merempuh sisi kiri kenderaan dinaiki Nurshahyda dan keluarganya.

 

“Mangsa yang berada di tempat duduk penumpang hadapan meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala manakala tiga yang lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

 

“Mayat mangsa (Nurshahyda) telah dihantar ke Unit Forensik, Hospital Hulu Terengganu di sini untuk dibedah siasat,” katanya.

 

 

– K! ONLINE

Berita Berkenaan

Berita Global
Dijual bersama-sama dengan Toyota Sienna, Estima merupakan pilihan kedua terbesar bagi mereka yang…