Serentak dengan itu, Toyota turut memperlihatkan logo baharu Crown yang kini dengan grafik yang lebih ringkas, serta persoalan "Sedan? SUV?" yang bakal menarik perhatian umum terhadap model baharu itu.

Ini kerana tidak seperti generasi-generasi Crown terdahulu yang lebih dikenali dengan bentuk badan sedan, Toyota Crown generasi baharu ini dilihat bakal menggandingkan kedua-dua elemen tersebut, dan ia disahkan tempat menerusi kehadiran imej-imej paten yang memperlihatkan bentuk badan sedan fastback dengan jarak kelegaan tanah yang tinggi.
Menurut laporan daripada media Jepun, Toyota Crown akan dibangun berdasarkan platform TNGA-K dengan sistem pacuan roda depan atau semua roda, serta penawaran trenkuasa hibrid dan elektrik penuh.

Crossover sedan fastback yang tinggi itu dijangka akan mendarat di beberapa pasaran termasuk Jepun, China dan Amerika Utara, di mana pasaran US bakal menerima model ini seawal Oktober 2022.
Selain daripada Toyota, terdapat beberapa pengeluar yang sudah pun mula menawarkan bentuk badan crossover fastback seperti Ford Evos, Citroen C5 X dan yang terbaharu Peugeot 408.