Terbaharu, laman web BestCarWeb melaporkan terdapat kerjasama antara Toyota, Daihatsu dan Suzuki untuk membangunkan sebuah kereta sports midship serba baharu.
Model serba baharu itu akan menggunakan kepakaran Daihatsu di dalam pembuatan kereta kecil berasaskan platform TNGA, di mana pelantar baharu akan dibuat untuk kereta tersebut dengan menggunakan sistem suspensi hadapan daripada Toyota Yaris spesifikasi Eropah (GA-B).
Jadi apa pula peranan Suzuki?

Pengeluar itu diberikan tugas untuk membangunkan unit trenkuasa, di mana Midship Sports (nama tidak rasmi) akan dibekalkan dengan enjin tiga silinder sebaris K10C 996 cc, dibantu dengan sistem hibrid ringan dan motor elektrik berkuasa 5 PS.
Enjin 1.0 liter turbo itu mampu menjana kuasa setinggi 120 hp dan daya kilas 200 Nm.
Angka itu mungkin nampak kecil, namun menurut BestCarWeb kereta sports midship itu dikatakan mempunyai berat sekitar 1,000 kg.

Gandingan output kuasa dan berat 1 tan itu mampu menjadikan pemanduan Midship Sports ini lebih mengujakan.
Difahamkan, terdapat pilihan transmisi manual enam nisbah kelajuan, atau kotak gear automatik enam nisbah kelajuan.
Anggaran harga jualan bermula dari 2.2 juta yen (RM72,488) hingga 2.8 juta yen (RM92,258) bergantung kepada pilihan transmisi dan juga penawaran trim.
Setakat ini, status Midship Sports masih lagi samar-samar, namun ia tidak mustahil memandangkan Toyota merupakan antara pengeluar yang sedang berusaha untuk tidak mengecewakan golongan petrolhead yang kian pupus.
Sumber: BestCarWeb