Toyota Crown Sport RS Limited Matte Metal untuk Jepun, warna kusam dari kilang

oleh Muhammad Md Tajudin|
Toyota Crown Sport RS Limited Matte Metal
Toyota Crown Sport RS Limited Matte Metal
Toyota mempunyai idea bagus apabila memperkenalkan sejumlah model di bawah siri Crown.

Bergantung pada pasaran, pelanggan ditawarkan Crown Crossover, Sport, Sedan dan Estate. Melalui Crown, Toyota mengisi segala ruang yang ada di antara Lexus.

Selain pelbagai gaya badan, Crown juga menarik apabila pelanggan di Jepun ditawarkan model sedan dengan rangkaian kuasa sel bahan api hidrogen.

Satu lagi yang khusus untuk Jepun ialah edisi istimewa Crown Sport RS Limited Matte Metal.
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02
Toyota Crown Sport RS Limited Matte Metal 2025

 

Dengan memiliki edisi ini, pemilik tidak perlu ke kedai balutan untuk mendapatkan warna badan kusam. 

Atau mungkin perlu juga berkunjung ke kedai jika mahu bertukar angin dan tampil dengan warna berkilat seperti kebanyakan kereta. 

Kemasannya bukan biasa. Selepas siap, cat Matte Metal dikenakan lapisan istimewa yang dipanggil TM Coat supaya permukaan kereta lebih senang diselenggara.

Lapisan itu menjadikan permukaan kereta kalis kotoran dan senang dibersihkan tanpa menjejaskan warna kusam.

 

Toyota Crown Sport RS Limited Matte Metal 2025

 

Seperti kebiasaan, warna badan kusam dipadan bersama perkakasan warna hitam kilat atau hitam piano.

Sebagai contoh pendakap lingkungan roda dan pintu, bingkai cermin, bibir bampar, bingkai lampu belakang dan sirip spoiler.

Keluar dari kilang, edisi istimewa ini menggunakan rim 21 inci warna hitam kusam atau pilihan hitam kilat. 

Di sebalik rongga besar, terpampang angkup brek enam omboh warna merah. 

 

Toyota Crown Sport RS Limited Matte Metal 2025

 

Bahagian dalam kereta juga istimewa dengan warna Black Lustre.

Stereng menggabungkan tiga perincian warna iaitu Warm Steel, Dark Grey Metal dan Light Grey berbanding hitam dan merah.

Warna Warm Steel pada Crown Sport RS berjaya membangkitkan aura mewah dan turut digunakan pada panel pintu, papan pemuka konsol tengah dan perehat tangan.

Sebagai ciri istimewa, nama model dibuat dengan laser pada corong penyaman udara kiri.

 

Toyota Crown Sport RS Limited Matte Metal 2025

 

Berbanding Crown Sport RS standard, model ini dilengkapi Kunci Digital tanpa penambahan wang. Fungsi ini membolehkan telefon pintar digunakan sebagai kunci kereta.

Menggerakkan kereta ialah rangkaian kuasa hibrid plug-in 2.5 liter A25A-FXS dengan transmisi e-CVT dan pacuan empat roda E-Four.

Enjin menghasilkan 177 ps pada 6,000 rpm dan daya kilas 219Nm pada 3,600 rpm.

 

Toyota Crown Sport RS Limited Matte Metal 2025

 

Motor eletrik depan memiliki kuasa 134 kW (182 ps) dan 270Nm. Motor belakang berkuasa 40 kW (54 ps) dan 121Nm. Bateri litium-ion mempunyai kapasiti 51 Ah.

Sebagai PHEV, kereta ini boleh dipandu menggunakan mod elektrik sehingga 90 kilometer (km).

Toyota Crown RS Sport Limited Matte Metal ditawarkan pada harga 8,200,000 yen (RM235,677).

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Toyota Crown Sport RS Limited Matte Metal 2025