Toyota Crown sambut ulang tahun ke-65 dengan tiga model edisi khas, dari RM206 ribu di Jepun

oleh Mohamad Hanif|
Tahukah anda, nama-nama kereta sedan Toyota suatu ketika dahulu sebenarnya memiliki satu persamaan, iaitu mahkota?
LEXUS MREC Banner Campaign August 2024

Sedan eksekutif Toyota Crown itu sendiri diambil daripada nama tersebut, Corona (bukan coronavirus) merupakan perkataan mahkota di dalam bahasa Latin, manakala Corolla pula merupakan mahkota kecil juga di dalam bahasa Latin.

Toyota Camry? Ya, ia berasal daripada nama jepun kanmuri yang membawa maksud mahkota kecil.

Jadi, kembali kepada generasi Toyota Crown yang kini sudah memasuki generasi ke-lima belas, Toyota telah melancarkan bukan satu, akan tetapi tiga model edisi khas bersempena dengan ulang tahun yang ke-65 sedan eksekutif tersebut iaitu:

  • Crown Limited
  • Crown Elegance Style II
  • Crown Sport Style

 


Toyota Crown Limited (gambar utama) dibangunkan berdasarkan trim RS namun hadir dengan kelengkapan seperti rim aluminium 18 inci dengan salutan hitam, serta upholsteri gandingan fabrik dan kulit sintetik.

Model Limited ini juga turut menampilkan sistem pemantauan titik buta, amaran lintasan trafik belakang, brek automatik dan tempat duduk hadapan berkuasa.

 

 


Toyota Crown Elegance Style II pula hadir dengan rim aloi 18 inci dengan ciri pengurangan hingar serta kemasan krom metalik, serta opsyen warna ruang kabin yang boleh dipilih antara warna hitam, kelabu cair serta emas.

Upholsteri pula didatangkan dengan gandingan suede dan kulit sintetik sementara konsol tengah pula dikemaskan dengan trim kayu hitam.

Ciri keselamatan yang sama pada model Limited turut ditawarkan pada Crown Elegance Style II ini.

 


Sebuah lagi model edisi khas dikenali sebagai Toyota Crown Sport Style yang turut membawakan set rim hitam 18 inci, lampu utama dan belakang jenis LED dengan efek asap, serta kemasan warna gelap pada gril, perumah lampu kabus dan juga kemasan nombor pendaftaran di belakang.

Sebagai sebuah model sport, Crown Sport Style membawakan ruang kabin berwarna hitam dikontraskan dengan jahitan mewah pada tempat duduk, papan pemuka, konsol tengah, panel pintu dan alas lantai.

Anda juga boleh mendapatkan pakej opsyen dengan penawaran kulit asli jika tidak mahukan tempat duduk dengan gandingan fabrik dan kulit sintetik.

 


Sementara itu, ketiga-tiga model tampil dengan penawaran enjin yang serupa, iaitu versi asas dengan enjin 2.0 liter turbo yang menghasilkan 241 kuasa kuda dan 350 Nm yang memacu roda belakang menerusi transmisi automatik lapan nisbah kelajuan.

Manakala versi yang lebih berkuasa pula hadir dengan enjin 2.5 liter hibrid dengan output setinggi 222 kuasa kuda, serta ditawarkan dengan pilihan pacuan roda belakang atau pacuan semua roda.

 


Harga jualan di pasaran Jepun pula bermula dari ¥5,063,000 (RM205,720) untuk Crown Sport Syle dan Elegance Style II, manakala versi Crown Limited pula dari ¥5,169,000 (RM210,027) untuk versi enjin 2.0 liter turbo.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
  Dengan memiliki edisi ini, pemilik tidak perlu ke kedai balutan untuk mendapatkan warna badan…
Berita Global
  Apa lagi yang menyerlah? Badan yang jelas tinggi atau dinaikkan dari permukaan jalan sekitar 25…
Berita Global
Atau mungkin anda lebih kenal dengan namanya yang asal seperti yang pernah kami laporkan sebelum…