Toyota Crown Estate 2025 Jepun, 2.5 HEV dan PHEV, mod elektrik hampir 90 km

oleh Muhammad Md Tajudin|
Toyota Crown Estate 2025 Jepun
Toyota Crown Estate 2025 Jepun
Semasa pengeluar lain sibuk dengan kenderaan elektrik (EV) beberapa tahun lalu, Toyota menumpukan perhatian pada siri Crown yang dijadikan siri keluarga baharu.

Crown baharu terdiri daripada Crossover, Sport, Sedan dan Estate. 

Walaupun tidak ditawarkan secara rasmi, pengimport bebas membawa Crown Sport ke pasaran tempatan dan ditawarkan pada harga yang sesuai dengan segmen mewah.

Crown Signia atau Estate diperkenal di Amerika Syarikat (AS) pada 2023 dan kini tiba giliran pasaran Jepun menerimanya.
CHERY Omoda 5 MREC Banner Campaign March 2025

 

Toyota Crown Estate PHEV Prototype 2025.

 

Berbanding enjin 2.5 liter hibrid (HEV) di AS, Crown Estate pasaran Jepun mempunyai tambahan enjin hibrid plug-in (PHEV) dengan mod elektrik hampir 90 kilometer (km).

Estate dibangunkan dari pelantar GA-K dan berukuran panjang 4,930 milimeter (mm), lebar 1,880 mm dan tinggi 1,625 mm.

Dimensi ini meletakkan Crown Estate di dalam segmen D dan tidak hairan mengapa ia menggantikan Venza (Harrier generasi keempat) di AS malah lebih besar.

Dari segi reka bentuk, nampaknya Toyota sudah berjaya menemui gayaan baharu dan boleh dilihat pada model-model terkini yang menyerlah.

 

 Toyota Crown Estate RS PHEV 2025
 Toyota Crown Estate RS PHEV

 

Pengguna tempatan turut boleh merasai gaya baharu Toyota melalui Camry baharu sementara menunggu model-model lain tiba.

Bahagian dalam menggunakan konsep seni bina pulau yang menghimpunkan pelbagai fungsi seperti skrin dan suis secara setempat dan disusun seperti pulau.

Pereka Toyota menyusun paparan meter dan kawalan gear dengan ergonomik untuk mengurangkan pergerakan mata pemandu.

Siri Crown berkongsi papan pemuka dan dibezakan pada riasan. Corak awan vintaj digunakan pada riasan Saddle Tan dan Grayish Blue dan menampilkan gaya mewah dan eksklusif.

 

Toyota Crown Estate Z HEV 2025
Toyota Crown Estate Z HEV 2025

 

Berbekalkan saiz yang panjang, ruang but mempunyai kapasiti 570 liter atau meningkat kepada 1,470 liter apabila kerusi belakang dilipat.

Satu ciri menarik adalah papan lantai kargo dengan menjadikan ruang rata sepanjang dua meter dan pertama untuk kenderaan Toyota.

Lagi ciri menarik, kerusi dek dan meja tarik keluar yang boleh digunakan semasa aktiviti luar seperti berkhemah dan boleh disimpan dengan kemas apabila tidak digunakan.

Untuk warna, hitam standard untuk semua varian manakala Saddle Tan nampak mewah. Grayish Blue khusus untuk Crown Estate PHEV.

 

Toyota Crown Estate 2025

 

Pada bahagian luar, Toyota menawarkan sepuluh warna termasuk lima dua tona. Precious Metal x Massive Gray dibuat khas untuk PHEV.

Berdasarkan konsep Mature Active Cabin, sistem suspensi Crown Estate ditala untuk mengekalkan kawalan stereng yang tepat serta kualiti pemanduan yang tinggi.

Ini memastikan keselesaan penumpang sepanjang perjalanan jauh dan tidak menyebabkan keletihan. Suspensi depan jenis MacPherson dan pelbagai pautan di belakang.

Crown Estate menggunakan sistem Suspensi Boleh Ubah Adaptif (AVS) dan Suspensi Boleh Ubah Adaptif (AVS).

 

 Toyota Crown Estate RS PHEV 2025.

 

Sistem DRS melaras pembelokan roda belakang mengikut kelajuan kenderaan dan sistem suspensi AVS mengawal daya redaman secara elektronik.

Tetapan khas (custom) digunakan pada DRS bagi menghasilkan pemanduan yang lincah dan stabil.

Tetapan khas juga digunakan pada AVS untuk meningkatkan daya redaman dan mengurangkan geseran untuk pemanduan berkualiti tinggi.

Pemandu boleh memilih tiga mod pemanduan iaitu Normal untuk keseimbangan di antara keselesaan dan prestasi harian.

 

 Toyota Crown Estate 2025

 

Mod Sport menjadikan pemanduan lebih responsif dengan kawalan yang lebih tepat.

Mod Keselesaan Belakang menggunakan kawalan DRS khas bagi meningkatkan keselesaan tempat duduk belakang. 

Mod Rear Comfort menampilkan kawalan DRS khas bagi meningkatkan keselesaan tempat duduk belakang.

Kawalan AVS pula memastikan pemanduan yang lebih stabil dengan mengurangkan olengan untuk semua tempat duduk.

 

 Toyota Crown Estate 2025

 

Pelanggan di Jepun boleh memilih rangkaian kuasa HEV atau PHEV. Enjin 2.5 liter HEV menghasilkan 186 ps dan 221 Nm atau 234 ps secara keseluruhan.

Penggunaan petrol pada kadar 20.3 kilometer per liter (km/L) (mod WMTC).

2.5 liter PHEV pula menghasilkan 177 ps dan 219Nm atau 306 ps secara keseluruhan.

Kadar penggunaan petrol 20 km/L dan sebagai PHEV, pemandu boleh menggunakan kuasa elektrik sehingga 89 km (mod WLTC).

 

Toyota Crown Estate RS PHEV 2025

 

Kedua-dua rangkaian kuasa menggunakan pacuan empat roda E-Four.

Berkenaan harga, Crown Estate RS PHEV dijual pada harga 8,100,000 yen (RM243,684) dan 6,350,000 yen (RM191,056) untuk Estate Z HEV.

Jualan di Jepun sudah pun bermula dan boleh dibawa ke pasaran tempatan pada 2026.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Toyota Crown

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Atau mungkin anda lebih kenal dengan namanya yang asal seperti yang pernah kami laporkan sebelum…