Toyota Corolla IS-F V-8 - bila Corolla kahwin dengan IS F!

oleh Mohamad Hanif|
Baik, sekali imbas, anda akan melihat sebuah Toyota Corolla generasi pertama (E10) yang dihasilkan era 1970-an yang sangat kemas terjaga tanpa sebarang kesan karat dan lusuh dimakan usia.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Namun, tahukah anda, nama sebenar yang tertera pada tajuk di atas menggambarkan segalanya - sebuah Toyota Corolla 1969 yang dilengkapi dengan trenkuasa dan casis daripada Lexus IS F tahun 2010?

Biar betik?

 


Hasil kerja tangan yang sempurna ini merupakan titik peluh daripada adik kepada pelumba drift terkenal Rhys Millan, Ryan Millan yang juga merupakan seorang pelumba dan penala. 

Pemilik kereta Corolla IS-F ini adalah Javier Quiros, anak kepada Xavier Quirós Oreamuno yang memiliki syarikat pengedar kenderaan Toyota keempat tertua di dunia. 

Demi mengembalikan nostalgia terhadap kereta Toyota Corolla bernadikan V8 Rambler American Scrambler milik bapanya suatu ketika dahulu, Javier mahu mencari kereta yang sama, namun memiliki tahap realibiliti yang cukup tinggi untuk dipandu seharian. 
 


Casis asal Toyota Corolla E10 ini sudah ternyata tidak mampu untuk menampung penambahan kuasa V8 yang dikehendakinya, dan apa yang dilakukannya - mengkahwinkan casis Lexus IS F tahun 2010 beserta trenkuasa V8 ke dalam badan Corolla 1969 ini!

Sudah tentu, cabarannya bukan alang kepalang, Ryan Millen terpaksa memotong badan Corolla ini menjadi dua, menambah 11 inci kelebaran dan 3 inci panjang, manakala casis Lexus IS F terpaksa dipendekkan jarak antara rodanya sebanyak 14 inci. 

Hasilnya, sebuah Toyota Corolla dengan nadi V8 5.0 liter yang menghasilkan 416 kuasa kuda dan 503 Nm yang memacu roda belakang menerusi transmisi auto lapan kelajuan!
 


Menurut Ryan Millen, "saya telah membina banyak kereta lumba sebelum ini, namun projek Corolla ini lebih sukar, disebabkan untuk mendapatkan proporsi yang betul sebelum menjalankan projek yang sebenar.

Millen membina kereta ini dengan satu tujuan, menjadikan Corolla ini sebuah cruiser yang selesa dan sporty, jadi sistem suspensi boleh laras telah dimuatkan bagi disesuaikan dengan pemanduan yang serius serta yang lebih santai. 

Pada awalnya, jentera ini dibina tanpa unit ABS yang terpasang (bayangkan bagaimana cara anda mengawal kuasa 416 hp itu!) namun menurut Ryan Millen lagi, pihaknya akan memasang unit ABS sebelum menghantarnya kepada pemilik. 
 


Hasil akhir yang ditunjukkan di bahagian luaran menampilkan kerja tangan Millen yang kemas pada fender, front fascia, hud dan bonet yang diperbuat daripada gentian kaca. 

Cermin hadapan dan lampu belakang pula disumberkan daripada trak pikap, gril hadapan diimport dari Jepun manakala emblem pula dari Sepanyol.

Jika luaran nampak macam setinggan yang sangat kemas, dalam pula macam kondo mahal (bak kata Wahid Senario).

 


Boleh dikatakan bahagian kabin tidak selari dengan bahagian luaran yang klasik itu, memandangkan Ryan Millen menggunakan komponen tempat duduk, skrin infotainmen, gear dan panel instrumen yang diambil secara terus daripada Lexus IS F. 

Pembinaan Corolla IS F ini turut mendapat perhatian bos besar Toyota, Akio Toyoda yang kemudian mencadangkan supaya ia dilayangkan dengan warna hijau yang sedikit berbeza, dan Olive Green akhirnya dipilih sebagai hasil akhir. 

 


Menurut MotorTrend, kos modifikasi keseluruhan untuk menghasilkan arca klasik moden Toyota Corolla IS F ini dianggarkan mampu mencecah sehingga $250,000 (RM1,041,121). 

Sumber: MotorTrend

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Sekitar tahun 1950-an (lebih tepat lagi Ogos 1956), kenderaan-kenderaan jenama Toyota hanya dibawa…