Toyota Corolla Hatchback 2022, model segak dengan transmisi manual!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Toyota Corolla Hatchback 2022
Toyota Corolla Hatchback 2022
Saingan kereta segmen C sememangnya sengit. Pelbagai jenama menawarkan produk masing-masing dengan kelebihan tersendiri.

Sebagai contoh Honda Civic, Toyota Corolla Altis dan Mazda3. Dari tiga jenama tersebut, Mazda satu-satunya yang menawarkan model sedan dan hatchback di pasaran tempatan.

Ops! Sebelum ini Honda mempunyai hatchback segmen C iaitu Civic Type R!

Toyota pula tampil menawan dengan Corolla Hatchback namun tidak ditawarkan secara rasmi kecuali dari syarikat pengimport bebas.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Toyota Corolla Hatchback 2022

 

Di antara pasaran yang menerima Corolla Hatchback ialah Amerika Syarikat dan model 2022 telah diperkenalkan pada 16 Disember 2021.

Corolla generasi ke-12 tersebut mula memasuki pasaran AS pada Julai 2018.

Trend dua warna, bumbung dan badan berbeza

Apa yang baharu untuk model 2022? Warna dua tona sekarang ini menjadi trend popular dan Toyota turut menawarkannya pada Corolla Hatchback.

Pembeli boleh memadankan bumbung berwarna Midnight Black Metallic dengan badan warna Wind Chill Pearl, Magnetic Gray, Classic Silver Metallic, Blue Flame atau Finish Line Red.

 

Toyota Corolla Hatchback 2022

 

Selain itu, varian Nightshade Edition dilengkapi roda aloi 18 inci berwarna gelap yang diambil dari Corolla XSE.

Warna hitam turut digunakan pada komponen lain seperti pembuka pintu, cermin sisi, antena sirip yu, spoiler belakang dan rangka dalam lampu depan.

Tanpa tayar gantian

Seperkara tentang hatchback ialah anda perlu berkorban dengan saiz but. Walaupun begitu ada alternatif untuk pembeli Corolla Hatchback SE dan XSE.

Dengan pakej Enhanced Cargo Space, Toyota menukar tayar ganti kepada kit pembaikan tayar untuk tambahan ruang enam kaki padu setelah lantai but direndahkan.

 

Toyota Corolla Hatchback 2022

 

Guna perekat dan kimpalan titik

Dari segi struktur, Corolla Hatchback menggunakan platform TNGA-C dan dipasang menggunakan pelbagai kaedah seperti perekat, kimpalan titik (spot welding) dan pendakap tambahan dari atas ke bawah dan sisi ke sisi.

Hasilnya platform kereta menjadi sangat kuat dan tegar untuk keselesaan pemanduan dan ketangkasan pemanduan.

Selain itu, penggunaan meluas aluminium dan besi kekuatan ultra tinggi dan tinggi pada struktur diterjemahkan pada rasa premium kereta ini dan juga kecekapan bahan bakar.

 

Toyota Corolla Hatchback 2022

 

Teknologi keselamatan standard

Ada rupa dan juga hebat dari segi keselamatan. Corolla Hatchback dilengkapi teknologi Toyota Safety Sense 2.0 seperti berikut:

  • Pre-Collision System with Pedestrian Detection (PCS w/PD)
  • Dynamic Radar Cruise Control (DRCC)
  • Lane Departure Alert with Steering Assist (LDA w/SA)
  • Automatic High Beam (AHB)
  • Lane Tracing Assist (LTA) (standard untuk model CVT)
  • Road Sign Assist (RSA)

Lagi kelengkapan standard untuk Corolla Hatchback 2022 ialah sepuluh beg udara dan Toyota Star Safety System seperti berikut:

  • Kawalan Cengkaman, Kawalan Penstabilan Kenderaan Dipertingkatkan
  • ABS, Pembahagian Daya Brek Elektronik Electronic Brake-force Distribution 
  • Bantuan Brek, Teknologi Henti Pintar

 

Toyota Corolla Hatchback 2022

 

Enjin Dynamic Force dengan CVT atau manual

Berbeza dengan Corolla Hatchback di Jepun yang dikuasakan enjin1.2 liter turbo dan 1.8 liter hibrid, model AS digerakkan enjin 2.0 liter Dynamic Force.

Enjin itu mempunyai beberapa karakter dan komponen seperti nisbah mampatan tinggi 13:1, geseran dalaman ultra rendah dan sistem D4-S dengan pancitan terus dan penyuntik kedua.

Turut canggih ialah sistem VVT-iE (intelligent variable) pada bahagian kemasukan dan VVT-i pada bahagian ekzos.

Sistem VVT-iE menggunakan motor elektrik dan bukan tekanan minyak untuk mengawal pemasaan injap boleh ubah.

 

Toyota Corolla Hatchback 2022

 

Dari segi prestasi, enjin itu berkuasa 168 hp pada 6,600 rpm dan tork puncak 204.7Nm pada 4,800 rpm.

Dengan pasaran yang besar, Toyota boleh menawarkan kotak gear manual dan pengguna di AS boleh menikmati keenam-enam gear manual iMT (Intelligent Manual Transmission).

Transmisi itu dibekalkan padanan rev dengan iMT mengawal putaran enjin secara automatik apabila pemandu menukar gear.

Toyota Corolla Hatchback 2022

Turut ditawarkan ialah transmisi CVT Dynamic-Shift dengan fungsi Sequential Shiftmatic sepuluh kelajuan, Mod Sport dan juga penganjak gear di stereng.

Berbeza dengan yang lain, CVT Dynamic-Shift mempunyai set gear yang digunakan sebagai gear pertama ketika memulakan pecutan sebelum ditugaskan kepada sistem takal (pulley).

Harga bagaimana?

Di AS ada lima varian Corolla Hatchback dengan unit aras mula SE ditawarkan pada harga disyorkan USD22,015 (RM91,945) manakala varian tertinggi XSE berharga USD24,965 (RM104,266).

Untuk pengguna yang mahukan sesuatu lebih istimewa, Toyota selepas ini akan melancarkan varian berprestasi GR Corolla!

Penulis: Muhammad Md Tajudin