Toyota Corolla Cross GR Sport merupakan varian tertinggi di dalam penawaran Corolla Cross, dan ia hanya boleh didapati dalam versi hibrid sahaja.

Ini bermakna, Corolla Cross GR Sport ini mendapat nadi 2ZR-FXE 1.8 liter kitaran Atkinson yang mampu menghasilkan 98 PS/142 Nm yang dipadankan dengan motor elektrik (72 PS/163 Nm) dengan kuasa gandingan sekitar 122 PS dan penggunaan bahan api serendah 4.29 liter/100 km.
Dari segi luaran, ia membawakan kit badan GR Sport yang merangkumi perubahan besar pada muka hadapan seperti gril dengan kemasan hitam berkilat, bukaan kemasukan udara pada bahagian bawah, diikuti dengan pemasangan skid plate pada bampar depan dan belakang.
Sementara unit lampu LED belakang pula mendapat perumah jernih, diikuti dengan layangan warna hitam pada bumbung dan rim aloi dua tona bersaiz 18 inci.

Untuk ruang kabin, ia mendapat tempat duduk dengan sulaman logo GR pada perehat kepala, upholsteri kulit hitam serta trim dalaman hitam berkilat.
Sebagai sebuah model GR Sport, Corolla Cross GR Sport ini mendapat talaan kepada sistem stereng dan strut bar bawah, serta penambahan ciri keselamatan fungsi berhenti dan bergerak pada kelajuan rendah pada kawalan jelajah adaptif.