Toyota Corolla Cross dilancarkan di Thailand - bermula dari RM135 ribu

oleh Mohamad Hanif|
Semenjak dilancarkan pada tahun 1966 di Jepun, Toyota Corolla berjaya menjadi kereta penumpang paling laris terjual dengan jumlah 48 juta unit di 150 buah negara di seluruh dunia.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Toyota Corolla bermula sebagai sebuah sedan, dan kemudian didatangkan dalam pelbagai jenis bentuk badan termasuklah hatchback, station wagon, serta coupe dua pintu.

Dengan falsafah baharu "Corolla meets SUV", ini merupakan satu lagi penambahan bentuk badan baharu terhadap keluarga Toyota Corolla membolehkan pengguna mendapatkan sebuah kenderaan yang bersesuaian dengan gaya hidup aktif.

 


Toyota Corolla Cross dibangunkan atas platform TNGA-C (GA-C), pelantar yang sama digunakan bagi model Corolla standard, Toyota Prius dan juga SUV Toyota C-HR.

Dari segi dimensi, ia membawakan ukuran 4,460 mm panjang, 1,825 lebar dan 1,620 mm tinggi dengan jarak antara roda (wheelbase) sepanjang 2,640 mm.

Dari segi perbandingan, Toyota Corolla Cross ternyata duduk di tengah-tengah antara Toyota C-HR (4,360 mm x 1,795 mm x 1,565 mm) dan Toyota RAV4 (4,600 mm x 1,855 mm x 1,655 mm) yang dibangunkan dari platform TNGA-K.

 


Crossover Corolla ini didatangkan dengan nadi 1,798 cc 2ZR-FBE yang menghasilkan 140 PS dan 177 Nm yang memacu roda hadapan, serta model hibrid dengan enjin 2ZR-FXE (98 PS/142 Nm) yang dipadankan motor elektrik (72 PS/163 Nm) menghasilkan output keseluruhan 122 PS.

Model aspirasi natural itu tadi menerima transmisi CVT-i manakala model hibrid pula dipasang dengan transmisi CVT elektrik.

Toyota mendakwa, dengan penggunaan casis yang ringan, model Corolla Cross NA itu tadi mampu mencapai penggunaan bahan api serendah 6.5 liter/100 km manakala model hibrid lebih jimat, serendah 4.3 liter untuk setiap 100 km.

 


Dari segi luaran, boleh dikatakan tiada sebarang elemen Corolla generasi baharu kelihatan, di mana Corolla Cross membawakan rekaan serba baharu di hadapan dengan gril menyerupai Toyota Sienta, sementara lampu belakang pula dilihat seakan unit Toyota RAV4 dengan garisan yang telah dilembutkan.

Seperti model crossover yang lain, Corolla Cross juga turut memakai cladding plastik yang bersegi pada keempat-empat arca rodanya.

Sistem suspensi pula adalah jenis MacPherson di hadapan dan Torsion Beam di belakang, manakala keempat-empat tayar pula menerima rim bersaiz 17 inci yang dibaluti tayar 215/60 R17, atau rim 18 inci dengan tayar 225/50 R18.

 


Kelebihan menggunakan platform TNGA-C ini salah satunya adalah penawaran ruang kabin dan ruang kargo yang lebih luas, di mana menurut Toyota ia mampu menawarkan kapasiti sebesar 487 liter.

Dari segi keselamatan, Toyota Corolla Cross didatangkan standard ciri pemantauan titik buta dan amaran lintasan trafik belakang, manakala model tertinggi pula dilengkapi dengan ciri keselamatan menyeluruh Toyota Safety Sense.

 

 


Toyota Corolla Cross akan dipasang di Thailand bermula 13 Julai 2020.

Terdapat dalam tujuh warna pilihan (Metal Stream Metallic, Red  Mica Metallic, Attitude Black Mica, Celestite Gray Metallic, Platinum White Pearl, Nebula Blue, dan Graphite Metallic), harga jualan pula bermula dari THB 989,000 (RM135,329) sehinggalah THB 1,199,000 (RM164,064) untuk model hibrid.

Berita Berkenaan

Berita Global
Namun, tidak seperti model yang dipasarkan di Jepun, Corolla Cross facelift Thailand ini dilihat…
Berita Global
Menurut Toyota Motor North America, SUV Corolla Cross yang dipanggil semula itu perlu diperiksa…
Berita Global
Perubahan utama boleh didapati pada model hibrid, di mana enjin 1.8 liter itu telah menerima modul…