Toyota Corolla Cross bakal hadir Q2 2021, diikuti sedan dan 'model GR' pada Q4

oleh Mohamad Hanif|
Crossover segmen C Toyota Corolla Cross dijadualkan bakal memasuki pasaran Malaysia seawal suku kedua tahun ini.

Menurut informasi yang diperoleh daripada slaid pembentangan korporat UMW Holdings Berhad, model SUV baharu itu merupakan model pemasangan tempatan yang akan diperkenalkan selepas pelancaran dua model Innova dan Fortuner baru-baru ini.

Selain daripada Toyota Corolla Cross, UMW Toyota juga dijangka akan membawakan dua buah model baharu, terdiri daripada model sedan (berkemungkinan besar Camry facelift) serta sebuah model GR.

 

 

sumber gambar: Paultan


Sementara model GR yang diperkatakan itu tidak dinyatakan secara terperinci, namun besar kemungkinan ia bakal melengkapkan lagi penawaran model GR di pasaran tempatan, selepas model GR Supra dan GR Yaris.

UMW Holdings juga turut menyatakan mereka akan memperkenalkan lebih banyak kenderaan pemasangan tempatan (CKD) untuk model segmen C dan komersial, serta lebih banyak kenderaan hibrid CKD untuk pasaran tempatan.

Ini merupakan salah satu usaha yang dibentangkan oleh UMW untuk merampas kembali penguasaan di dalam segmen bukan nasional yang kini dipegang oleh Honda Malaysia.

 


Toyota Corolla Cross dibangunkan menggunakan platform TNGA-C yang turut digunakan untuk model-model Corolla, Prius dan SUV C-HR.

Tidak seperti model-model Corolla dan Prius yang menggunakan suspensi double wishbone, Corolla Cross menggunakan sistem suspensi torsion beam yang lebih ringkas untuk gandar belakang.
 


Crossover Corolla ini didatangkan dengan nadi 1,798 cc 2ZR-FBE yang menghasilkan 140 PS dan 177 Nm yang memacu roda hadapan, serta model hibrid dengan enjin 2ZR-FXE (98 PS/142 Nm) yang dipadankan motor elektrik (72 PS/163 Nm) menghasilkan output keseluruhan 122 PS.

Model aspirasi natural itu tadi menerima transmisi CVT-i manakala model hibrid pula dipasang dengan transmisi CVT elektrik.

 


Berita berkenaan pelancaran Toyota Corolla Cross ini turut diperkuatkan dengan kehadiran SUV tersebut di West Port Pelabuhan Klang seperti yang dipetik daripada M.K. Azreen menerusi hantaran di laman Facebook.

Tiga keping gambar itu memaparkan bentuk sebenar Corolla Cross tanpa sebarang pelekat samaran, dan kehadiran lencana 1.8G di bahagian belakang SUV itu.

 


Sumber: Paultan

Berita Berkenaan

Informasi
  Difahamkan, jenazah Allahyarham yang dilahirkan pada 6 Julai 1969 sudah dibawa pulang ke…