Toyota Corolla 2023 JDM - penampilan, trenkuasa hibrid dikemaskini, enjin baharu 1.5L & 2.0L

oleh Mohamad Hanif|
Toyota baru-baru ini mengemaskini penawaran bagi model Corolla di pasaran Jepun dengan penawaran enjin Dynamic Force baharu, serta trenkuasa hibrid yang telah disemak semula.

Bermula dengan trenkuasa hibrid, kesemua bentuk badan Corolla (sedan, wagon, hatchback) boleh didapati dengan enjin 2ZR-FXE kitaran Atkinson 1.8 liter (98 PS/142 Nm) yang dipadankan dengan motor elektrik yang lebih berkuasa (95 PS/185 Nm) dan transmisi e-CVT.

Versi pacuan semua roda E-Four untuk model sedan dan wagon pula mendapat tambahan motor elektrik pada gandar belakang berkuasa 41 PS dan 84 Nm.
 

Corolla


Selain daripada itu, terdapat juga penawaran enjin baharu Dynamic Force yang terdiri daripada enjin 1.5 liter M15A-FKS (120 PS/145 Nm) yang dipadankan dengan transmisi CVT Direct Shift untuk model Corolla dan Corolla Touring.

Manakala Corolla Sport pula turut menerima enjin Dynamic Force 2.0 liter M20A -FKS menghasilkan 170 PS dan 202 Nm, dipadankan dengan transmisi Direct Shift.
 

Corolla


Dari segi penampilan, ketiga-tiga model itu mendapat unit lampu DRL dengan rekaan grafik baharu, sementara rekaan jeriji hadapan juga turut mendapat kemasan yang berbeza mengikut model.

Sementara ruang kabin pula mendapat skrin infotainmen lapan inci sebagai ciri standard atau opsyen skrin besar bersaiz 10 inci lengkap dengan ciri sambungan Apple CarPlay secara nirwayar dan sokongan Wi-Fi.
 

Corolla


Toyota turut menaiktaraf ciri keselamatan, seperti contoh fungsi baharu di dalam Toyota Safety Sense yang akan mengesan kehadiran kenderaan yang datang dari arah hadapan secara automatik sewaktu di persimpangan, serta mengesan kehadiran pejalan kaki sewaktu sedang membelok.

Ciri Proactive Driving Assist pula akan menjangkakan risiko kemalangan bergantung kepada kondisi pemanduan serta mampu menyokong input stereng dan brek untuk mengelakkan pelanggaran atau terlalu hampir dengan pejalan kaki, penunggang basikal atau kenderaan yang diparkir.

Di Jepun, harga jualan untuk setiap model adalah seperti berikut:
Toyota Corolla - dari 1,990,000 yen hingga 2,998,000 yen (RM63,653-RM95,896)
Toyota Corolla Touring - dari 2,070,000 yen hingga 3,048,000 yen (RM66,212-RM97,495)
Toyota Corolla Sport - dari 2,200,000 yen hingga 2,890,000 yen (RM70,370-RM92,441)

Berita Berkenaan

Berita Global
Menurut laporan daripada The Drive, Toyota USA akhirnya menggugurkan penawaran transmisi manual…
Berita Global
  Di Amerika Syarikat sahaja sebanyak 248,993 unit Corolla dijual pada 2021 dan menduduki tangga…
Informasi
1. Toyota Estima     Satu daripada MPV popular di negara kita. Toyota Estima atau Previa lama di…