Dua varian utama ditawarkan untuk pasaran Malaysia, masing-masing menerima nadi kuasa 1.8 liter 2ZR-FE empat silinder sebaris yang mampu menjana 139 PS dan 172 Nm daya kilas.
Kotak gear yang digunakan pula adalah jenis CVT Sequential Shiftmatic dengan tujuh nisbah kelajuan yang memacu roda hadapan sahaja.
Dibangunkan atas platform Toyota New Global Architecture (TNGA-C), Toyota Corolla baharu kini menawarkan pemanduan yang lebih jitu, terima kasih kepada penggunaan suspensi MacPherson di hadapan, serta Double Wishbone di bahagian belakang.
Dari segi penawaran standard, sedan segmen C varian 1.8E ini hadir dengan kelengkapan seperti lampu utama automatik bi-halogen, lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED, lampu kabus depan dan belakang, sistem kemasukan tanpa kunci, pendingin hawa zon tunggal, tempat duduk fabrik berkuasa elektrik boleh laras, sistem infotainmen 6.8 inci dengan enam pembesar suara serta slot pengecasan USB.
Manakala varian yang lebih tinggi pula didatangkan dengan kelengkapan seperti rim aloi bersaiz 17 inci (berbanding 16 inci pada varian 1.8E), lampu utama Bi-LED, skrin paparan info berbilang 7 inci TFT, tempat duduk balutan kulit dengan jahitan berkembar, slot pengecasan nirwayar, brek parkir elektronik serta perakam video digital.
Kelengkapan keselamatan juga tidak kurang menarik apabila kedua-dua varian hadir dengan tujuh beg udara, sistem brek anti-kunci ABS, EBD, Bantuan Brek, Bantuan Mula Mendaki (HAC), Lampu Berhenti Kecemasan (ESS), Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dan Kawalan Cengkaman (TRC).
Namun, khusus buat varian 1.8G ia dilengkapkan dengan Sistem Pemantauan Titik Buta (BSM) dan ciri keselamatan Toyota Safety Sense yang merangkumi perkara-perkara seperti:
- Sistem Pra-Pelanggaran (PCS)
- Amaran Keluar Laluan (LDA)
- Kawalan Pemanduan Radar Dinamik (DRCC)
- Lampu Suluhan Tinggi Automatik (AHB)
- Bantuan Pengesan Laluan (LTA)