Toyota Century menjengah pasaran Jepun

oleh Mohamad Hanif|
Toyota Century kini memasuki generasi ketiga dengan pengekalan imej limosin mewah premium yang keluar daripada kilang Toyota, malah lebih premium berbanding jenama mewah Toyota itu sendiri, iaitu Lexus.

Masih mengekalkan imej luaran yang amat serupa dengan generasi terdahulu, Toyota telah memuatkan pelbagai teknologi terkini di samping mengekalkan tradisi kraf tangan dan kemasan yang ikonik dengan tradisi Jepun pada Century ini. 


Saiz kabin generasi ketiga ini telah dipanjangkan sedikit bagi menambahkan lagi ruang kaki untuk penumpang belakang berehat dengan selesa. 

 


Penumpang belakang juga boleh mendapatkan khidmat kerusi urut terbina dalam dan disertakan dengan perehat kaki berkuasa elektrik yang boleh dikawal menerusi skrin sentuh 7 inci yang terletak pada perehat tangan belakang. 

Selain daripada fungsi urut, skrin sentuh itu juga mampu mengawal pendingin hawa, kawalan audio serta langsir (!) untuk lebih privasi ketika bergerak merentasi kawasan orang ramai. 
 


Malah, Toyota juga menyertakan sebuah lagi skrin sebesar 11.6 inci dengan 12 saluran audio (12-channel) yang menghantar alunan muzik pilihan menerusi 20 buah speaker di seluruh kabin untuk tujuan hiburan. 


Toyota Century juga menampilkan siling fabrik dengan corak manji lattice yang melambangkan kemakmuran dan kehidupan yang abadi, manakala luaran pula terdapat ukiran emblem phoenix di dalam gril 'infinite loop' yang membawa maksud harmoni, serta kemakmuran yang berkekalan. 

Pemilihan warna juga amat spesifik apabila Toyota menawarkan empat warna ekslusif tradisi Jepun iaitu Kamui Eternal Black, Lake Mashu Shrine Blue Mica, Asuka Red Mica dan Seika Radiant Silver Metallic. 
 


Toyota Century generasi ketiga ini mengguna pakai khidmat nadi enjin V8 5.0 liter  2UR-FSE yang menghasilkan 375 kuasa kuda dan 509.7 Nm daya kilas maksimum sebelum menambah elektrik motor yang mampu menghasilkan 221 kuasa kuda dan 300 Nm kuasa tork. 

Dari segi keselamatan, Century ini dilengkapkan dengan ciri bantuan pemanduan Toyota Safety Sense yang terdiri daripada Bantuan Pengesan Titik Buta (Blind Spot Assist), Bantuan Parkir Kenderaan (Parking Support Alert), Sistem Pra-Pelanggaran (Pre-Collision System), Amaran Ubah Laluan (Lane Departure Alert), Bantuan Pengesan Simbol Jalan Raya (Road Sign Assist), dan juga Bantuan Pengesan Jalan Raya (Lane Tracing Assist). 
 


Di Jepun, Toyota hanya mensasarkan produk premium ini dijual 50 unit sebulan dengan harga jualan bermula dari 19,600,000 yen (RM713,561++). 

 

Add new comment

Careta Ad