Malah, apa yang ditawarkan oleh Gazoo Racing juga tidak jelas, akan tetapi memandangkan lencana GRMN terpasang, sudah pasti Century GRMN ini lebih berkuasa berbanding Century standard.
Kini, Toyota menawarkan 700 unit terhad Toyota Century GRMN kepada mereka yang berminat (dan berwang), namun barang harus diingat, anda boleh memilikinya namun tidak pula dibenarkan untuk memandunya.
Ini kerana, Toyota Century GRMN ini lebih kepada sebuah model berskala 1/18 yang sesuai diletakkan sebagai hiasan di atas meja kerja anda.
Kemasan yang dibawakan oleh pembuat model berskala Kyosho ini juga cukup kemas dan teliti, menampilkan beberapa elemen unik seperti mesh grille sarang lebah, kit badan keliling, serta spoiler gentian karbon di bahagian belakang.
Menurut data yang diperoleh daripada Kyosho, dalam dunia nyata Toyota Century GRMN didatangkan dengan sistem suspensi udara dengan tetapan yang berbeza berbanding model standard.
Keempat-empat sudut pula menggunakan tayar Yokohama Advan Sport V105 yang membaluti rim forged BBS bersaiz 19 inci.
Toyota Century ketika mula diperkenalkan didatangkan dengan enjin 5.0 liter bentangan V8 yang dipadankan dengan sistem bantuan hibrid yang menjana kuasa 425 hp secara keseluruhannya.
Namun, talaan yang dilakukan kepada Century GRMN pula dikhabarkan menghasilkan kuasa yang lebih tinggi berbanding kuasa standard 425 hp itu.
Dengan penghasilan dihadkan kepada 50 unit sebulan, harga jualan Toyota Century standard di Jepun bermula dari 19.6 juta yen (RM756,422) tidak termasuk aksesori tambahan yang biasanya ditawarkan kepada kereta mewah mafia ini.
Namun, usah risau kerana model skala 1/18 yang dijual oleh Kyosho ini murah sahaja, ¥19,800 atau RM764 mengikut kadar pertukaran mata wang semasa.
Sumber: Kyosho