Bersempena dengan pelancaran strategi berbilang laluan baru-baru ini, UMWT turut mempamerkan sebuah Camry Hybrid yang sebelum ini telah pun muncul secara rasmi di pasaran Thailand.

Dari segi luaran, Camry Hybrid membawakan rupa paras yang hampir sama, namun boleh dibezakan dengan kehadiran lencana Hybrid serta kehadiran elemen biru pada logo Toyota.
Dari segi kuasa, Camry Hybrid dijana dengan nadi Dynamic Force A25A-FXS 2.5 liter (178 PS @ 5,700 rpm, 221 Nm @ 3,600-5,200 rpm) yang dibantu dengan motor elektrik 88 PS/202 Nm, menjadikan output keseluruhan setinggi 211 PS.

Pek bateri nickel-metal hydride (NiMH) telah diposisikan pada bahagian bawah tempat duduk belakang bertujuan untuk menjadikan penawaran ruang kargo yang lebih luas, serta menurunkan titik graviti.
Sama seperti Camry facelift, Camry Hybrid ini juga menampilkan skrin infotainmen bersaiz sembilan inci yang telah dialih kedudukannya, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem kamera 360 darjah, serta kehadiran panel kawalan pada perehat tangan belakang.

Menurut Toyota, mereka bakal membawa masuk beberapa unit Camry Hybrid untuk tujuan penilaian, dan terdapat kemungkinan besar ia bakal ditawarkan secara rasmi kelak.