Toyota Camry 2021 - varian baharu hibrid XSE, Toyota Safety Sense 2.5+ standard untuk semua varian

oleh Mohamad Hanif|
Sedan segmen D Toyota Camry kini menerima kemaskini untuk model tahun 2021 dengan penambahan ciri keselamatan yang terkini serta model baharu berkuasa hibrid.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ia membawakan beberapa perubahan bersifat kosmetik di bahagian luaran, di mana Toyota kini membezakan antara model berorientasikan keselesaan (LE dan XLE) dengan varian yang lebih sporti SE dan XSE. 

Varian LE dan XLE menampilkan ruang kemasukan udara yang direka semula, diikuti dengan set rim bersaiz 17 inci (trim LE) dan 18 inci (trim XLE). 
 


Model SE dan XSE pula menampakkan rekaan bumper yang lebih agresif, gril sarang lebah, serta liang udara sisi dengan kemasan warna gelap. 

Sementara model berprestasi tinggi talaan TRD mengekalkan rekaan aerodinamik, serta ciri keselamatan sistem pemantauan titik buta dan amaran lintasan trafik belakang yang kini standard. 

Antara ciri lain yang ada pada model TRD ini adalah tempat duduk balutan SofTex, perehat kepala dengan jahitan logo TRD, roda stereng balutan kulit, tali pinggang keledar berwarna merah, tombol gear TRD dan meter unik TRD.
 


Sistem infotainmen pula terdiri daripada paparan bersaiz tujuh atau sembilan inci, dan menyokong integrasi sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Aspek keselamatan turut dipertingkatkan dengan Toyota Safety Sense 2.5+ dengan ciri yang ditambahbaik seperti Sistem Pra-pelanggaran dengan pengesan pejalan kaki yang mampu beroperasi di dalam keadaan pencahayaan yang kurang baik. 

Sistem yang disebutkan itu tadi juga mampu mengesan kenderaan dari arah bertentangan atau ketika memasuki persimpangan sebelah kiri selain memberikan amaran berbentuk audio/visual. 

Antara ciri lain termasuklah bantuan stereng ketika kecemasan, kawalan pelayaran radar dinamik kelajuan penuh, bantuan kesan laluan, bantuan suluhan tinggi automatik, bantuan papan tanda, amaran lintasan trafik belakang, sistem pemantauan titik buta dan amaran tempat duduk belakang. 
 


Tiga opsyen enjin ditawarkan, di mana versi bukan hibrid didatangkan dengan enjin 2.5 liter (203 hp/250 Nm), serta enjin bentangan V6 3.5 liter (301 hp/362 Nm) yang dipadankan dengan transmisi automatik lapan nisbah kelajuan. 

Manakala versi hibrid XSE pula hadir dengan gandingan enjin 2.5 liter empat silinder sebaris, serta sebuah motor elektrik yang mampu menghasilkan 208 kuasa kuda dengan sistem transmisi ECVT. 

Berita Berkenaan

Berita Global
Berdasarkan gambar yang sengaja digelapkan itu, terdapat beberapa petunjuk yang boleh dijadikan…
Berita Global
Toyota Camry Hybrid XSE   Lihat sahaja koleksi gambar di dalam artikel, si merah yang bernama …
Informasi
Untuk makluman, Toyota Camry sebenarnya telah pun wujud di pasaran sejak dari tahun 1979 menerusi…