Sama seperti apa yang ditawarkan untuk pasaran Jepun, Toyota tidak membuat sebarang perubahan kepada trenkuasa hibrid 1.8 liter dan 2.0 liter, namun aspek pemanduan telah diberikan penumpuan di mana sistem suspensi sedikit keras berbanding model standard.
Selain daripada itu, model hibrid 1.8 liter turut menerima komponen bar anti-oleng yang lebih besar diambil daripada model 2.0 liter bagi meningkatkan kawalan terhadap olengan casis dan kawalan pitch.
Antara perubahan lain termasuklah penggunaan tayar yang eksklusif untuk C-HR GR Sport, penyerap hentak dengan daya penyerapan yang lebih baik, serta sistem stereng yang ditala semula untuk respons yang lebih pantas.
Dari segi luaran, varian GR Sport ini mendapat pakej kosmetik berupa warna aksen hitam pada lampu utama, perumah lampu kabis dan gril, sementara rim pula adalah bersaiz 19 inci.
Terdapat sehingga lapan warna ditawarkan dengan kemasan dua tona, termasuklah warna baharu Ash Gray yang hanya didapati untuk varian GR Sport sahaja.
Sementara itu, ruang kabin turut menerima beberapa perubahan seperti penampilan logo GR, jahitan kontras, upholsteri Alcantara, serta roda stereng balutan kulit berliang.
Ciri standard yang didatangkan termasuklah tempat duduk dengan pemanas terbina, sistem infotainmen dengan sambungan Android Auto dan Apple CarPlay, serta opsyen sistem audio JBL dengan sembilan pembesar suara.
Melihatkan kepada pengenalan model C-HR GR Sport, adalah tidak mustahil Toyota akan menghadirkan versi GR yang lebih berkuasa.
Malah, terdapat beberapa laporan terdahulu mencadangkan bahawa Toyota akan hadir dengan hot crossover GR C-HR dengan nadi yang diperoleh daripada GR Yaris.