Toyota C-HR -  khusus untuk geng glamour!

oleh HEZERI SAMSURI|
Tak perlu kami membawang, dengan pelancaran Toyota C-HR oleh UMW Toyota, maka berakhirlah satu lagi "click-bait" utama kami.

Banyak Facebook Page tempatan yang SUV ranggi itu sebagai "click-bait" kerana setiap kali gambar C-HR dinaikkan, maka beribu FB Likes akan diterima.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ramai memuji, mengidam, geram dan sebagainya. 

Tidak dapat dinafikan Toyota bekerja keras selama beberapa tahun kebelakangan ini kerana dikritik teruk akibat rekabentuk model-model terdahulu yang terlalu membosankan sehingga komputer kami sendiri tertidur bila melihatnya.

 

 

Toyota C-HR lahir atas inisiatif untuk mengingatkan pasaran bahawa Toyota bukan jenama khusus untuk pegawai kerajaan yang membosankan atau untuk tujuan dijadikan teksi awam. Konsepnya muncul dalam tahun 2014 dan kemudian dihasilkan menggunakan teknologi platform TNGA (Toyota New Global Architecture) yang mengutamakan pemanduan gaya sporti dan keselamatan penumpang.

Seperti kebanyakan model-model kenderaan dari negara matahari terbit itu, namanya mesti membawa maksud. Untuk C-HR, maksudnya ialah Compact High Rider atau Cross Hatch Run-about - menunjukan fokus SUV ini ialah sebagai sebuah kenderaan crossover urban. 

 

 

Hanya tiga kilang yang dibenarkan untuk menghasilkan model C-HR - menunjukan bahawa ia bukan calang-calang produk untuk Toyota. 

1. Kilang Toyota di Turki untuk pasaran Eropah dan Amerika utara
2. Kilang Toyota di Jepun untuk pasaran domestik Toyota dan beberapa pasaran kecil dunia
3. Kilang Toyota Gateway di Thailand untuk pasaran ASEAN. 

Bagi pasaran Malaysia, cuma satu varian yang diberikan dan satu pilihan enjin - 2ZR-FBE 1,798cc 4-silinder 16-injap Dual VVT-i yang menghamburkan 140PS dan 171 Nm, dipadankan dengan transmisi jenis CVT Super ECT bersama fungsi Sequential Shiftmatic 7-kelajuan.

Transmisi itu juga menawarkan tiga mod pemanduan - Eco, Normal dan Sport. 

 

 

Careta percaya apabila kilang baharu Toyota siap di Bukit Raja kelak, varian hybrid dengan harga yang lebih menarik akan diperkenalkan. Varian ini mungkin lebih kepada menguji pasaran.

Dari segi kelengkapan, kecewa bila melihat C-HR ini tidak secanggih bentuknya. Lampu hadapan ialah dari jenis projektor halogen berkembar dan rim standard 17-inci dengan rekabentuk secanggih sebatang pensel percuma dari hotel. Nasib baik ia ada DRL dan rekabentuk asalnya memang sudah sedikit sporty. 

Masuk ke kabin, kemasan yang digunakan memang unik. Sesiapa yang pernah melihat kabin Caldina pasti teringat warna seakan-akan ungu pada beberapa kemasan papan pemukanya. Panel pintu dengan corak 3D bentuk permata juga sangat "kejepunan". Begitu juga corak yang sama digunakan pada siling C-HR ini.

 

 

Ada banyak ciri-ciri keselamatan yang disorok dan perlu dikorek untuk kita jumpa. Yang utama ialah dua sistem elektronik canggih Blind Spot Monitoring (BSM) yang memberi amaran kehadiran kenderaan lain di sisi kita dan akan membunyikan amaran jika ada kenderaan di sisi dan kita menggunakan isyarat untuk membelok ke arah yang sama.

BSM pada C-HR ini menggunakan teknologi Eropah kerana lampu amaran wujud pada cermin sisi. Kemudiannya Rear Cross Traffic Alert (RCTA) yang sangat membantu semasa mengundur kenderaan keluar dari parkir ke jalan yang sibuk.

Kepada mereka yang gemar menggunakan brek parkir tangan, anda akan menangis meratapi ketiadaan fungsi itu. C-HR cuma ada Electric Parking Brake atau EPB. Kerana itu, ia diberikan fungsi Auto Brake Hold di mana C-HR ini mampu berhenti bila pendikit dilepaskan semasa kelajuan merangkak siput. Ini sangat berguna semasa kesesakan lalulintas seperti di Jalan Tun Razak jam 6.00 pm.

Atau di Lebuhraya EDL Johor Bahru jam 8.15 am.

Atau di Jambatan Pulau Pinang jam 6.30 pm. 

Atau di depan Jakel Segamat sewaktu musim perayaan.

 

 

Juga wujud ialah HAC (Hill-start Assist Control) untuk mereka yang sering parkir di cerun curam dan satu lagi kelengkapan yang sangat jarang wujud pada kenderaan dalam julat harga di bawah RM150,000 - Tyre Pressure Monitoring System (TPMS). 

TPMS bermakna ada pengesan di dalam setiap tayar untuk memberikan amaran sekiranya tekanan udara turun lebih dari 80 peratus dari sepatutnya. Ini sebenarnya satu fungsi wajib di US dan sangat berguna untuk semua, terutama pemandu wanita yang mungkin menjadi antara sasaran utama model ini. 

 

 

Melengkapkan pakej TPMS ialah pam tayar elektrik yang disorok di bahagian but. Ini praktikal kerana penulis menggunakannya untuk mengepam bola, tayar basikal, pelampung dan kolam renang kanak-kanak.

Sistem audio diakses menerusi skrin sesentuh 7-inci dan mempunyai fungsi pemain DVD, WiFi, pelayan internet, Voice Recognition, sistem penyambungan dengan telefon pintar menerusi kabel HDMI, USB atau Bluetooth dan pelbagai fungsi-fungsi lain. Sayang sekali mutu audio tidak secanggih kebolehannya.

Ciri keselamatan lain ialah tujuh beg udara, Vehicle Stability Control dan sistem penggera yang mengesan sebarang pergerakan di dalam kenderaan setelah kenderaan dikunci dan pengesan cermin dipecahkan.

 

 

Baiklah, mari kita bercerita tentang sesuatu yang langsung tidak disebut secara tepat di dalam risalah atau brochure Toyota C-HR ini - pengalaman pemanduan.

Perkara pertama yang perlu kita ingat ialah varian C-HR ini bukan direka untuk pemanduan agresif. Enjin 1.8L dengan transmisi CVT itu lebih sesuai untuk pemanduan gaya santai dan relax. Bila dipaksa juga untuk berlaku agresif, penulis dihadiahkan dengan ngauman enjin serta CVT yangs eolah-olah mengerang tanda protes. 

Pendakian cerun juga melihat enjin itu seolah-olah ketat dan memerlukan lebih input dari pendikit. 

 

 

Dari segi kawalan badan semasa selekoh dan juga keselesaan, C-HR ini rasa normal. Ia tidak ada sifat yang membuatkan kita merasa WOW dan ia juga tidak menyebabkan kita berkata "Hampeh". C-HR ini cukup selesa dan bersikap biasa semasa pemanduan di dalam atau di luar bandar.

Ya, ia mudah dipandu di sekitar urban kerana ia sedikit tinggi dan mengurangkan kerisauan akan masalah topografi jalanraya di Kuala Lumpur. Ia juga ada banyak alatan elektronik untuk memudahkan pemanduan urban dan juga untuk keluar dan masuk dari petak parkir.

Secara ringkas, C-HR ini ialah seperti seorang supermodel yang memakai kasut Bata dan berperawatakan seorang pengawas perpustakaan sekolah rendah.

 

 

Careta percaya, UMW Toyota ada varian lain yang lebih agresif di waktu hadapan.

Sementara itu, Salina Jalil turut mahu menyumbangkan pendapat beliau akan model CH-R ini. Di bawah ialah hasil pandu uji Salina.


Lima sebab mengapa kami katakan C-HR ini menarik:-

1. Rupabentuknya yang menerujakan lagi sporti, walaupun ramai yang mengatakan ia meniru HR-V tetapi dari pendapat kami, tohmahan tersebut amat tersasar.

2. Jiwa sentiasa terasa muda apabila memandu model ini, dengan itu ia amat sesuai untuk tenaga pengajar seperti cikgu yang bakal berpencen, ia mengembalikan semula jiwa keremajaan.

3. Memandangkan saiznya yang comel, ia sesuai untuk mereka yang lebih berminat memandu kenderaan yang tidak terlalu besar atau sebuah kenderaan sedan, sememangnya mereka yang tidak berjiwa kental, tidak begitu yakin dan takut untuk memandu kenderaan besar atau sedan.

4. Ia adalah unit CBU sepenuhnya.

5. Fasha Sandha juga memilikinya, kemungkinan besar beliau berminat menyertai kelab kereta C-HR dan anda berpeluang ber-TT (teh tarik) bersamanya. Sekiranya tidak dapat berTT bersama Fasha Sandha, anda masih boleh berbangga memiliki sebuah Crossover yang menarik perhatian dan yang pasti akan mendapat jelingan cemburu kerana ia 'rare' di atas jalanraya.

 

 

Lima sebab mengapa C-HR ini bukan untuk anda:-

1. Walaupun diberikan nadi dengan 1.8L, ia masih kekurangan tenaga apatah lagi semasa sesi mendaki bukit, ngauman dari bahagian enjin agak ketara.

2. Tingkap kecil di bahagian penumpangan agak kecil sehingga anda akan terasa agak 'lemas' 

3. Expectation dari kami agak tinggi tentang C-HR ini, namun ia agak 'biasa' sahaja dan tiada yang menerujakan kecuali rekabentuknya. Jangan salah faham, kami tidak mengatakan ia tidak bagus, tetapi ia adalah sebuah Crossover yang santai, relaks dan bukan untuk mereka yang mengutamakan pecutan atau mementingkan pengendalian yang mantap.

4. Tidak sesuai untuk mereka yang mempunyai lebih dari dua orang anak remaja yang sedang membesar memandangkan siling di bahagian penumpang agak rendah dan anak anda pasti terhantuk kepala.

5. Anda perlu modal untuk menukar rim aloi yang lebih menarik kerana ia sediada tidak menjiwai atau sepadan dengan C-HR yang sporti.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Menurut Toyota, air boleh menyebabkan berlakunya litar pintas pada komponen elektronik selak pintu…
Berita Global
  Tacoma memiliki muka depan yang rugged dan menarik manakala 4Runner mewarisi ciri tersebut dan…
Berita Global
Ia berikutan dengan isu skandal penipuan ujian keselamatannya yang dilaporkan sebelum ini. Toyota…