Toyota bZ4X - Langkah pertama, langkah sumbang?

oleh Penyumbang Rencana|
Serangan serius pertama dari Toyota untuk segmen kenderaan elektrik (EV) muncul pada Mac tahun ini dengan model SUV elektriknya, bZ4X.
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02

bZ yang bermaksud Beyond Zero (pengeluaran asap sifar) sebenarnya dihasilkan sebagai projek usahama antara Toyota dan Subaru.

 

2

 

Namun begitu, kebanyakan perkakasan fizikal dibangunkan oleh Toyota dan dari segi harga, bZ4X adalah lebih mesra poket kerana Subaru Solterra EV hanya datang dalam varian AWD dengan dua motor elektrik.

bZ4X yang dipandu uji ini bukan unit jualan, tetapi salah satu dari dua unit yang dibawa masuk oleh UMW Toyota untuk tujuan kajian pasaran dan teknikal.

 

3

 

SUV lima tempat duduk ini memang besar (lebih kurang saiz Harrier tetapi lebih lebar) dan mempunyai rekabentuk bersegi serta plastik-plastik "cladding" yang berfungsi menahan calar jika kita meredah semak-samun.

Ikatan silaturrahim bZ4X ini dengan model-model Toyota yang lain cukup mudah untuk dilihat kerana gaya rekabentuk yang dikongsi bersama.

 

4

 

Seperti EV kebanyakan, ruang kabin didominasikan dengan sebuah skrin sesentuh sebesar 12.3 inci di tengah papan pemuka dan skrin LCD TFT 7 inci di hadapan pemandu.

Fungsi-fungsi keselamatan ADAS diberikan dan ciri-ciri yang lain sebenarnya hampir sama dengan apa yang ada pada produk-produk global Toyota.

 

4

 

Apapun, spek bZ4X ini sama seperti yang dilancarkan di Indonesia. Spesifikasi untuk Malaysia masih belum dikongsikan.

Pemanduan untuk varian FWD Single Motor dengan 201 hp dan 266 Nm dari pek bateri Lithium-Ion sebesar 71.4 kWh ini terasa segar, dengan pecutan yang tegar walaupun roda aloi sebesar 20-inci digunakan.

 

5

 

Ya, walaupun besar dan gedabak, pecutan 0-100 kmsj masih pantas - 7.5 saat, 1 saat lebih lambat dari Toyota GT86 tapi hanya 0.2 saat lebih perlahan dari Mazda MX-5.

Walaupun mengecaj EV masih menyusahkan diri, bZ4X dilengkapi dengan pengecaj AC (Type 2) dengan kapasiti mengecaj setinggi 6.6 kW dan pengecaj pantas DC berkapasiti sehingga 150 kW (0-80 peratus dalam masa lebih kurang 30 minit).

 

6

 

Pemanduan di sekitar bandar dengan kelajuan bawah paras 100 kmsj membuktikan ia mudah dipandu. Ia tidak seperti EV yang lain di mana pengguna baharu terpaksa melakukan adaptasi cara pemanduan.

Untuk bZ4X, walaupun ia mempunyai fungsi EV lain seperti Single Pedal Driving, kuasa regenerasi tenaga tidak boleh dilaras dan ia sebenarnya tidak begitu agresif seperti EV yang lain.

 

7

 

Ini pastinya satu kekurangan di mata peminat EV tegar tetapi untuk majoriti penduduk dunia yang lain yang lebih normal, ini ialah satu ciri yang menarik.

Perlu diingatkan Toyota adalah punca utama kenapa kenderaan hibrid menjadi popular di seluruh dunia. Antaranya ialah tidak perlu ada proses transformasi dari pengguna kenderaan enjin pembakaran dalaman biasa dengan kenderaan hybrid.

 

8

 

Mungkin resipi ini yang digunakan dan mungkin bZ4X akan lebih mudah dihadam oleh ramai pengguna yang mahu berhijrah ke alam elektrik.

Jarak gerak yang diberikan secara rasmi ialah 500 km, tetapi apa yang kami dapat adalah lebih kurang 430 km, dengan cara pemanduan biasa dan sekali-sekala membaham Camry baharu berwarna hitam yang tercengang melihat bagaimana "pick-up" bZ4X ini mampu meninggalkannya terkapai-kapai.

 

9

 

Harga jualan di Indonesia melangkaui RM360,000 tetapi itu ialah harga tanpa sebarang insentif seperti yang wujud di Malaysia. Pastinya harga bZ4X ini tidak akan setinggi itu di sini.

Adakah ia sebuah EV yang terbaik? Mungkin tidak tetapi yang pasti, bZ4X ini cukup mudah untuk dipandu tanpa perlu membiasakan diri dengan ciri-ciri "unik" kereta elektrik.

Kenapa perlu kita merumitkan lagi kehidupan, bukan?

 

Penulis: Hezeri Samsuri

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Toyota Vios, Hilux dan Corolla Cross, membentuk 69 peratus unit yang dijual, adalah antara model…
Informasi
Beliau berkata, ia mencerminkan inisiatif syarikat dan promosi berfokuskan pelanggan yang berjaya,…
Berita Domestik
Beliau berkata, jumlah tempahan tertunggak kedua-dua pengeluar kereta itu ketika ini berkurangan…