Toyota bZ4X 2023 versi produksi tawar jarak operasi sejauh 500 km, pelancaran pertengahan 2022

oleh Mohamad Hanif|
Toyota bZ merupakan nama bagi keluarga tujuh model kenderaan elektrik yang bakal dilancarkan kelak, dan Toyota akhirnya mendedahkan spesifikasi penuh ahli pertama dari keluarga EV itu, Toyota bZ4X.
LEXUS MREC Banner Campaign August 2024
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01

Versi produksi Toyota bZ4X itu diperlihatkan secara rasmi di Jepun yang didatangkan dalam dua varian, iaitu pacuan roda depan dan pacuan semua roda.

Menggunakan pelantar e-TNGA yang dibangunkan bersama Subaru, SUV elektrik bZ4X ini memiliki titik graviti yang rendah, prestasi off-road yang diperlukan, serta menawarkan tahap ketegaran casis yang lebih baik.
 

bZ4X


Menariknya, walaupun Toyota bZ4X menampilkan teknologi steer-by-wire, namun ia masih lagi dikatakan mampu menawarkan pengalaman pemanduan seperti sebuah kereta, dibantu dengan tetapan suspensi double wishbone di bahagian belakang.

Dari segi dimensi, bZ4X membawakan ukuran 4,690 mm, lebar 1,860 mm dan tinggi 1,650 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,850 mm.

Disebabkan senibina yang dikhususkan untuk pembangunan kenderaan elektrik bateri dan jarak antara roda yang agak panjang, Toyota bZ4X mampu menawarkan ruang kabin yang luas dan mampu menyamai sebuah sedan dalam segmen D.
 

bZ4X


Toyota bZ4X versi FWD didatangkan dengan motor elektrik tunggal menghasilkan 201 kuasa kuda, dan pecutan 0-100 km/j dalam masa 8.4 saat.

Sementara versi pacuan semua roda pula menampilkan tetapan motor elektrik berkembar (satu untuk setiap gandar) dengan kuasa gandingan 215 hp.

Biarpun dengan berat sekitar 2,005 kg (85 kg lebih berat berbanding model FWD), versi AWD ini mampu memecut sepantas 7.7 saat, selain merupakan model Toyota pertama yang mendapat teknologi Grip-Control dan X-Mode daripada Subaru.
 

bZ4X


Pek bateri lithium-ion 355 voltan itu memiliki kapasiti 71.4 kWh yang diposisikan pada bahagian bawah lantai, dan membenarkan jarak pemanduan sejauh 500 km (460 km untuk versi AWD).

Ia juga turut menyokong pengecasan AC 6.6 kW, serta pengecasan DC 150 kW yang membolehkan bateri dicas sehingga 80 peratus dalam masa 30 minit.

Menurut Toyota, pek bateri itu tadi menampilkan sistem pemantauan voltan, arus dan kawalan suhu, serta didakwa mampu mengekalkan kapasiti bateri pada 90 peratus selepas tempoh 10 tahun atau jarak perbatuan 240,000 km.
 

bZ4X


Rekaan papan pemuka adalah sama seperti apa yang diperlihatkan sebelum ini, rekaan skrin digital berdekatan cermin hadapan, skrin infotainmen tengah yang besar, serta sokongan sistem infotainmen terkini dan kemaskini over-the-air.

Antara ciri lain termasuklah penggunaan kaca khas serta pengurangan bunyi bising angin bagi menawarkan pemanduan yang lebih senyap, ciri keselamatan Toyota Safety Sense dan tidak ketinggalan panel solar bumbung yang ditawarkan secara opsyen dan mampu menjana kuasa elektrik yang cukup untuk jarak pemanduan 1,800 km per tahun.
 

bZ4X


Sementara ciri pemanas yang terdapat pada tempat duduk, stereng dan bahagian kaki pula menggunakan tenaga yang diperoleh daripada pam haba bagi mengingkatkan kadar kecekapan.

Toyota bZ4X juga boleh digunakan sebagai punca sumber tenaga bagi seisi rumah terutama ketika bekalan terputus, atau apa jua fungsi yang diperlukan ketika melakukan aktiviti luar.

Difahamkan, Toyota bZ4X akan dilancarkan secara rasmi di peringkat global pada pertengahan tahun 2022, diikuti dengan tiga lagi model EV baharu seperti yang diacah pada video rasmi.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Toyota bZ4X itu juga boleh bersiap sedia untuk acara-acara tertentu apabila diperlukan.   Menurut…
Telah Diuji
bZ yang bermaksud Beyond Zero (pengeluaran asap sifar) sebenarnya dihasilkan sebagai projek usahama…
Model Terbaharu
Kini, SUV elektrik tersebut diperlihatkan secara rasmi sekali lagi di HQ UMWT di Shah Alam…