Kini, SUV elektrik tersebut diperlihatkan secara rasmi sekali lagi di HQ UMWT di Shah Alam bersempena dengan pembentangan strategi berbilang laluan untuk mencapai sasaran neutraliti karbon menjelang 2050.
Toyota bZ4X dibangun menggunakan pelantar e-TNGA yang menawarkan titik graviti yang rendah, serta tahap ketegaran casis yang lebih baik.

Difahamkan, unit yang dipamerkan di HQ Toyota Shah Alam itu merupakan varian motor elektrik tunggal 204 PS dan 266 Nm yang memacu roda hadapan - sama seperti unit yang dilancarkan di Indonesia pada tahun lepas.
Pek bateri lithium-ion berkapasiti 71.4 kWh membenarkan jarak gerak sehingga 500 km mengikut data WLTP.
Toyota bZ4X menyokong pengecasan AC 6.6 kW, serta pengecasan pantas DC sehingga 150 kW yang membolehkan bateri dicas 0-80 peratus dalam masa 30 minit sahaja.

Unit pameran bZ4X tersebut dipadankan dengan rim bersaiz 20 inci, sistem pencahayaan LED di bahagian luar, port pengecasan pada bahagian fender kiri, spoiler berkembar, serta pintu tailgate berkuasa.
Masuk ke dalam ruang kabin, ia menampilkan skrin kluster digital tujuh inci, roda stereng dengan butang pelbagai fungsi, skrin tengah bersaiz 12.3 inci, sistem kawalan iklim dua zon, corong pendingin hawa untuk penumpang baris kedua, serta slot pengecasan peranti tanpa wayar pada konsol tengah.
Buat masa ini, UMWT masih lagi belum mendedahkan harga jualan mahupun spesifikasi rasmi yang bakal ditawarkan kelak.

Namun sebagai perbandingan, Toyota bZ4X spesifikasi Indonesia dijual pada harga bermula dari Rp 1,190,000,000 (RM359,678), sementara bZ4X versi AWD di pasaran Thailand pula berharga dari 1.836 juta Baht (RM237 ribu).