Toyota bZ3, sedan kerjasama Toyota dan BYD untuk China!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Toyota bZ3 2022
Toyota bZ3 2022
Selepas melancarkan crossover elektrik bZ4X di Jepun pada Mei 2022, Toyota kembali dengan memperkenalkan bZ3, model kedua dalam siri kenderaan beyond Zero atau bZ.

Apa yang menarik ialah, bZ3 merupakan sedan elektrik yang dibangunkan secara bersama untuk pasaran China oleh BYD TOYOTA EV TECHNOLOGY CO., LTD. (BTET).

BTET adalah syarikat usahasama (JV) yang ditubuhkan oleh Toyota dan BYD Company Ltd. (BYD) dan FAW Toyota Motor Co. Ltd. (FAW Toyota).

Sedan ini nanti akan dikeluarkan dan dijual melalui rangkaian pengedaran FAW Toyota.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024
Toyota bZ3 dan bZ4X 2022

 

Sementara itu, Toyota bZ4X yang diperkenalkan sebelum ini menggunakan komponen hasil kerjasama syarikat Jepun, China (bateri CATL) dan sistem pacuan X-MODE Subaru Forester.

Kemahiran Toyota bekerjasama juga jelas apabila bZ4X turut dijenamakan sebagai Subaru Solterra.

Untuk bZ3, lebih 100 jurutera Toyota dari pelbagai jabatan seperti rekaan, pengeluaran, kejuruteraan dan kawalan kualiti bekerjasama dengan jurutera BYD dan FAW Toyota.

BYD ditubuhkan pada 1995 dan mempunyai kepakaran dalam bateri dan teknologi utama lain dalam kenderaan elektrifikasi dengan pelanggan di serata dunia.

BYD adalah satu syarikat yang besar dan mengeluarkan pelbagai produk seperti kereta, bateri, monorel, bas, forklift, basikal dan sebagainya.

 

Toyota-bZ4X

 

FAW Toyota pula menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan di China sejak penubuhannya pada tahun 2000. 

Jualan kumulatif FAW pada hari ini telah pun mencecah 10 juta unit.

Dengan kekuatan dan sinergi di antara tiga syarikat tersebut, bZ3 dilihat sebagai satu produk baik yang ditawarkan kepada pelanggan.

Sistem elektrifikasi bZ3 adalah gabungan bateri litium-ion yang menggunakan fosfat besi dari BYD dan kepakaran teknologi elektrifikasi Toyota.

Struktur bateri, penyejukan, kawalan dan sistem pengawasan keselamatan bZ3 direka baharu dan menghasilkan sistem elektrifikasi cekap, canggih, selamat dan boleh dipercayai.

 

Toyota bZ3 2022

 

Berapa jauh bZ3 boleh dipandu? Mengikut standard CLTC (China Light-Duty Vehicle Test Cycle), jarak gerak sedan ini melebihi 600 kilometer!

Toyota turut memanfaatkan kepakaran elektrifikasi bagi mengurangkan degradasi bateri.

Sasaran pembangunan yang ditetapkan ialah memastikan 90 peratus kapasiti selepas sepuluh tahun bagi ketenangan minda pelanggan.

bZ3 dibina di atas pelantar e-TNGA dan mempunyai pusat graviti rendah dan kestabilan pengendalian yang baik. 

Posisi pemanduan dibuat bagi meminimumkan ketegangan otot, mengurangkan keletihan dalam perjalanan jauh dan menjadikan pemanduan satu pengalaman menyeronokan.

 

Toyota bZ3 2022

 

Pergerakan, membelok dan pemberhentian telah diperhalusi melalui pengalaman Toyota dalam pembuatan kereta dan sukan permotoran.

Hasilnya ialah sebuah kereta yang lebih selesa untuk dinaiki pemandu dan penumpang. 

Konsep pembangunan bZ3 dibuat berdasarkan Ruang Keluarga di mana kereta menjadi ruang untuk keluarga dan rakan-rakan meluangkan masa berbanding sekadar menjadi objek pengangkutan.

Dari segi rekaan, bZ3 bukan sebuah sedan kecil, ukuran panjang ialah 4.72 meter, lebar 1.83 meter dan tinggi 1.47 meter.

Lampu depan bZ3 mengingatkan kepada Vios baharu manakala bahagian tepi meneruskan gayaan dinamik bZ4X. Dalamannya pula lebih ringkas berbanding bZ4X.

 

Toyota bZ3 2022

 

Sebagai sebuah kereta elektrik, faktor aerodinamik adalah perkara penting dan ciri menarik pada bZ3 boleh dilihat pada sudut bampar yang membentuk laluan udara.

Tabir udara (air curtain) pula mengambil kira laluan udara manakala pemegang pintu rata, roda aluminium dan bampar belakang dibentuk supaya mengurangkan rintangan angin.

Hasilnya boleh dilihat pada pekali seretan (Cd) yang rendah iaitu 0.218!

Toyota belum memaklumkan bila bZ3 akan dijual di China dan juga perancangan untuk menawarkannya di pasaran lain.

Dengan berbekalkan jenama Toyota, reka bentuk menarik dan jarak gerak jauh, bZ3 dilihat mempunyai potensi baik untuk diterima ramai.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Berita Berkenaan

Berita Global
Sejurus selepas pelancaran, Toyota mengumumkan mereka telah pun menerima tempahan sebanyak 5,000…
Berita Global
Ini adalah berdasarkan beberapa keping gambar yang muncul di laman web Kementerian Industri dan…