Toyota bZ Time Attack AWD Concept

oleh Qalif Latif|
Toyota akhirnya membuktikan bahawa kereta elektrik bukan sekadar kenderaan senyap dan menjimatkan, tapi juga boleh jadi mesin perlumbaan yang ganas. Di acara SEMA 2025 di Las Vegas (4 hingga 7 November), jenama Jepun ini memperkenalkan bZ Time Attack AWD Concept, sebuah versi litar ekstrem kepada SUV elektrik Toyota bZ4X, hasil sentuhan pasukan Toyota Motorsports Garage (TMG) di Amerika Utara.

Toyota bZ Time Attack AWD Concept

Projek EV Paling Berani Toyota

Walaupun Toyota dikenali sebagai peneraju dalam teknologi hydrogen mobility, syarikat kini mempergiat usaha dalam arena EV berprestasi tinggi. Model konsep ini bukan sekadar “show car” biasa, tapi dibina khas untuk membuktikan bahawa EV juga mampu membawa semangat dan DNA perlumbaan sebenar.

Bermula dengan casis 2026 Toyota bZ crossover, TMG membuang segala elemen keselesaan jalan raya dan membina semula ia menjadi senjata trek sepenuhnya. Sistem dwi-motor asal yang menghasilkan 338hp kini ditala semula sehingga melebihi 400hp, menjadikannya antara EV Toyota paling berkuasa pernah dihasilkan.

Toyota bZ Time Attack AWD Concept

Direka Untuk Menyerang Litar

Untuk memberikan tahap kawalan maksimum di selekoh, suspensi TEIN motorsport-grade digunakan dengan penurunan tinggi casis sebanyak enam inci, manakala jarak roda juga dilebarkan sebanyak enam inci bagi kestabilan tambahan. Sistem brek Alcon dengan pad Hawk digunakan bagi mempertingkat daya henti, disokong oleh roll cage FIA-spec chromoly bagi kekakuan casis.

Toyota bZ Time Attack AWD Concept

Model konsep ini juga dilengkapi rim BBS 19 inci dengan tayar Continental ExtremeContact Sport 02 bersaiz 305-section, memastikan cengkaman dan kestabilan optimum sepanjang sesi ujian di litar.

Reka Bentuk Luaran Agresif

Bahagian luaran bZ Time Attack ini diselaputi widebody kit khas dengan pakej aerodinamik penuh termasuk splitter depan, side skirt, diffuser belakang, dan sayap belakang raksasa. Semua elemen ini direka untuk memberikan downforce tambahan, melengkapkan grip tinggi yang dihasilkan oleh tayar lebar Continental.

Toyota bZ Time Attack AWD Concept

Kabin pula kosong sepenuhnya seperti kereta lumba sebenar, hanya dilengkapi kerusi OMP Racing, tali pinggang OMP harness, dan panel kawalan asas untuk mengekalkan berat minimum.

Lebih Daripada Sekadar Pameran

Menurut Marty Schwerter, ketua pembina projek ini, “kereta ini adalah platform ujian untuk generasi seterusnya dalam pembangunan EV berprestasi.” Ia tidak akan dijual kepada umum, namun berfungsi sebagai ‘rolling test bed’ bagi mengumpul data penting untuk pembangunan EV masa depan Toyota.

Toyota bZ Time Attack AWD Concept

Toyota menegaskan bahawa projek ini adalah sebahagian daripada usaha mereka untuk membina kereta elektrik yang benar-benar menyeronokkan untuk dipandu, bukan sekadar alat pengangkutan bersih. Dengan bZ Time Attack AWD Concept, Toyota membuktikan bahawa masa depan EV boleh jadi pantas, agresif dan mendebarkan, bukan membosankan.

Toyota bZ Time Attack AWD Concept

Sumber: Autoblog