Toyota bina litar ala Nürburgring di Shimoyama!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Toyota Technical Center Shimoyama (TTC-S) 2026
Toyota Technical Center Shimoyama (TTC-S) 2026
Toyota Motor Corporation baru-baru ini membuka pintu Toyota Technical Center Shimoyama (TTC-S) kepada media dan pihak berkepentingan.

Acara itu diadakan bagi memperlihatkan bagaimana Toyota membangunkan sesebuah kereta dari peringkat awal sehingga benar-benar sedia untuk digunakan di jalan raya.

Terletak di wilayah Aichi antara Toyota City dan Okazaki City, kemudahan tersebut kini menjadi pusat utama pembangunan kenderaan Toyota dengan pendekatan yang cukup berbeza daripada pusat R&D biasa.

Di sini, kereta bukan sekadar dibangunkan dalam makmal atau simulasi komputer.

Sebaliknya, ia dipandu secara ekstrem, dibaiki, dianalisis dan diuji semula berulang kali sehingga jurutera benar-benar berpuas hati dengan hasilnya.

Idea Yang Bermula 30 Tahun Lalu

 

Toyota Technical Center Shimoyama (TTC-S) 2026

 

Menurut Toyota, idea pembinaan Shimoyama sebenarnya sudah lama wujud dalam fikiran Pengerusi Toyota, Akio Toyoda.

Kira-kira 30 tahun lalu, beliau mula mempersoalkan mengapa Jepun tidak mempunyai fasiliti pembangunan seperti Nürburgring di Jerman.

“Why can't we do what is done at the Nürburgring, but in Japan?”

Bagi Akio Toyoda yang juga dikenali sebagai Morizo, pengalaman memandu sendiri memainkan peranan penting dalam membentuk sesebuah kereta.

Falsafah itu pula banyak dipengaruhi mendiang pemandu ujian Toyota, Hiroshi Naruse yang cukup terkenal dengan prinsip roads build cars.

Di Nürburgring, kereta dipandu tanpa belas kasihan di laluan mencabar sebelum kerosakan dikenal pasti, dibaiki terus di pit dan kembali diuji semula.

Proses itu diulang berkali-kali dalam sehari bagi memastikan ketahanan dan karakter pemanduan sesebuah model benar-benar berada pada tahap terbaik.

Pendekatan itulah yang mahu dibawa Toyota ke Jepun menerusi Shimoyama.

Berkumpul Di Satu Tempat

 

Toyota Technical Center Shimoyama (TTC-S) 2026

 

Pembinaan TTC-S bermula pada 2018 sebelum mula beroperasi sepenuhnya pada Mac 2024.

Apa yang membezakan kemudahan ini ialah keseluruhan proses pembangunan dibuat dalam satu kawasan yang sama.

Daripada pereka, jurutera, mekanik sehinggalah pemandu ujian, semuanya bekerja berdekatan antara satu sama lain tanpa dipisahkan oleh struktur organisasi tradisional.

Toyota menyatakan kira-kira 3,000 kakitangan ditempatkan di pusat itu bagi mempercepatkan proses pembangunan dan memudahkan kerjasama antara pasukan.

Hasilnya, sebarang masalah yang ditemui ketika ujian boleh terus dibincangkan dan diperbaiki tanpa perlu menunggu lama.

Litar Ujian Dibina Ikut Bentuk Muka Bumi

 

Toyota Technical Center Shimoyama (TTC-S) 2026

 

Antara kemudahan utama di Shimoyama ialah Loop 3, iaitu laluan ujian yang dibina menggunakan bentuk muka bumi semula jadi kawasan tersebut.

Laluan sepanjang 5.3 kilometer itu mempunyai perubahan ketinggian (elevasi) sehingga 75 meter selain dipenuhi selekoh teknikal dan permukaan jalan yang tidak sekata.

Toyota menyifatkannya sebagai laluan country road dan skalanya sekitar satu perempat daripada Nürburgring.

Menariknya, litar tersebut dibangunkan bersama pemandu ujian Toyota sendiri dan mengambil masa sekitar 10 tahun untuk disiapkan.

Toyota berkata laluan itu digunakan untuk melihat sama ada sesebuah kereta benar-benar mampu memberi keyakinan dan rasa komunikasi yang baik kepada pemandu.

Selain jalan berturap, Shimoyama turut mempunyai laluan tanah khas untuk ujian ketahanan di permukaan mencabar seperti laluan batu kerikil (gravel) dan rali.

Menurut Toyota, laluan itu ditambah selepas Akio Toyoda mahu kenderaan diuji dalam keadaan lebih ekstrem sehingga ke had maksimum.

Konsep Drive, Break, Fix

 

Toyota Technical Center Shimoyama (TTC-S) 2026

 

Salah satu perkara paling menarik tentang Shimoyama ialah konsep pembangunan yang digunakan Toyota sendiri iaitu drive, break, fix.

Kereta dipandu di litar ujian sehingga masalah muncul, kemudian dibawa terus ke ruang penyelenggaraan untuk dibaiki sebelum kembali diuji semula.

Bahagian penyelenggaraan itu mampu menempatkan sehingga 40 kenderaan dalam satu masa dan mempunyai laluan terus ke litar.

Di tingkat atas pula, jurutera akan menganalisis data serta mencari penyelesaian untuk menambah baik prestasi dan ketahanan kenderaan.

Ruang reka bentuk pula menggabungkan model tanah liat dan semakan digital supaya proses pembangunan boleh dilakukan dengan lebih pantas dan terus di lokasi sama.

Toyota percaya proses berulang seperti ini bukan sahaja menjadikan kereta lebih baik, tetapi turut membentuk kemampuan dan pengalaman jurutera yang terlibat.

 

Toyota Technical Center Shimoyama (TTC-S) 2026

 

Lexus dan GR Berkongsi Kemudahan Sama

Toyota turut menempatkan pasukan Lexus dan Toyota Gazoo Racing di Shimoyama.

Walaupun kedua-duanya mempunyai pendekatan pembangunan berbeza, Toyota melihatnya sebagai peluang untuk kedua-dua bahagian saling berkongsi pengalaman dan idea.

Lexus memberi tumpuan kepada kejituran dan keselesaan, manakala GR pula lebih fokus kepada keseronokan pemanduan dan karakter sporti.

Menurut Toyota, gabungan dua pendekatan itu membantu menghasilkan model yang lebih seimbang dari segi prestasi dan pengalaman pemanduan.

Digunakan Untuk Pengangkutan Udara dan Bantuan Bencana

 

Toyota Technical Center Shimoyama (TTC-S) 2026

 

Selain pembangunan kenderaan, Toyota turut memperlihatkan demonstrasi penggunaan helikopter AeroToyota sebagai sebahagian daripada inisiatif pengangkutan masa depan syarikat.

Toyota menjelaskan idea pengangkutan udara itu sebenarnya mempunyai kaitan sejarah dengan pengasas syarikat, Kiichiro Toyoda.

Beliau mula memikirkan pengangkutan tanpa jalan raya selepas melihat kesan gempa bumi besar Kanto.

Pada masa sama, Toyota turut menjalankan latihan bantuan bencana bersama komuniti sekitar.

Kawasan pergunungan Shimoyama mempunyai risiko terputus hubungan sekiranya berlaku gempa bumi atau bencana cuaca buruk.

Atas sebab itu, TTC-S juga dibangunkan supaya boleh berfungsi sebagai pusat sokongan kecemasan kepada komuniti berhampiran.

 

Toyota Technical Center Shimoyama (TTC-S) 2026

 

Pelaburan Cecah 300 Bilion Yen

Toyota Technical Center Shimoyama dibangunkan di atas kawasan seluas 650.8 hektar dengan nilai pelaburan sekitar 300 bilion yen (RM7.51 bilion)

Sejak mula beroperasi pada 2024, kemudahan itu kini menjadi pusat utama Toyota dalam usaha menghasilkan model yang lebih baik menerusi falsafah roads build cars, and cars build people.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Berita Berkenaan

Berita Global
  Pada Mac, media Jepun melaporkan Toyota akan mengurangkan pengeluaran kenderaan bagi pasaran…
Berita Global
Melalui inisiatif GR Heritage Parts yang bermula sejak 2019, pengeluar gergasi Jepun itu telah…
Berita Global
Peningkatan Spesifikasi dan Ciri Standard Yaris Cross Bagi model Yaris Cross, Toyota memberikan…